Foto hiasan
Foto hiasan
Recqueal Raimi

KERAJAAN negeri dan semua pihak yang membantah Pas Sementara Sabah (PSS) diminta tampil mengemukakan cadangan baharu untuk menangani isu kebanjiran warga asing, khususnya pendatang asing tanpa izin (PATI).

Aktivis pengguna dan hak asasi manusia Sabah Datuk Patrick Sindu menjelaskan perkara itu penting bagi memastikan tindakan susulan diambil dalam menyelesaikan masalah itu selepas PSS yang sepatutnya dilaksanakan mulai Jun depan dibatalkan kerajaan negeri.

Menurutnya, pembatalan program itu bukan penyelesaian kepada masalah PATI di negeri itu, sebaliknya satu langkah baharu perlu diambil bagi memastikan masalah yang sudah berlarutan sejak sekian lama ditangani dengan sebaik mungkin.

“Pembatalan PSS adalah disebabkan bantahan disuarakan pelbagai pihak yang berpendapat kaedah itu bukan satu penyelesaian kepada masalah PATI di Sabah kerana mereka melihat tiada keperluan memberikan dokumen baharu kepada golongan itu.

“Jadi, sekarang kerajaan perlu melaksanakan satu pendekatan baharu untuk menyelesaikan masalah PATI di Sabah. Kita tidak boleh biarkan masalah ini terus berlarutan,” katanya ketika dihubungi di Tuaran hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan kerajaan negeri membatalkan cadangan pengeluaran PSS kepada warga asing yang memegang dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci seperti disuarakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, baru-baru ini.

Keputusan itu menyusul selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini yang menyaksikan pembangkang menggunakan isu PSS bagi menarik sokongan pengundi dan menang dengan majoriti 2,029 undi.

Pembangkang mendakwa PSS membawa pelbagai kesan buruk kepada negeri ini termasuk menyebabkan bilangan pendatang asing terus bertambah berikutan peningkatan kelahiran anak golongan itu jika tidak dihantar pulang.

Patrick menambah, langkah proaktif perlu diambil untuk mengatasi masalah PATI dengan tumpuan terhadap usaha menghantar mereka pulang ke negara asal.

“Tidak kiralah mereka datang dari mana, sama ada Filipina, Indonesia, Pakistan atau negara lain, hantar mereka pulang jika datang tanpa dokumen yang sah atau tinggal di sini melebihi tempoh ditetapkan.”

“Tiada cara lain lagi untuk mengatasi masalah ini selain mengetatkan penguatkuasaan undang-undang. Jika datang untuk bekerja di sini, mereka perlu patuhi undang-undang, mesti ada dokumen yang sah,” katanya.

Beliau berkata, isu warga asing berstatus pelarian perang dari selatan Filipina yang memegang dokumen IMM13 juga perlu diselesaikan dengan sebaik mungkin bagi memuktamadkan isu itu yang sudah terlalu lama berpanjangan.

PSS sebelum ini dicadangkan sebagai langkah mengatasi pemalsuan dokumen IMM13, Kad Burung-Burung dan Sijil Banci selain untuk mengenal pasti mereka yang memegang dokumen palsu supaya tindakan susulan dapat diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 3:24 PM