WANITA perlu tegas menolak sebarang bentuk perkataan, percakapan yang menjurus kepada gangguan seksual di tempat kerja.
WANITA perlu tegas menolak sebarang bentuk perkataan, percakapan yang menjurus kepada gangguan seksual di tempat kerja.
Muhammad Saufi Hassan

GURAUAN dengan perkataan lucah sehingga membabitkan sentuhan yang sebenarnya tidak direlakan oleh mangsa.

Gangguan seksual boleh didefinisikan sebagai apa-apa kelakuan tidak diingini yang bersifat seksual dalam apa-apa bentuk sama ada secara lisan, bukan lisan, visual, isyarat, fizikal yang ditujukan kepada seseorang yang secara munasabahnya menyinggung atau menghina atau suatu ancaman kepada kesejahteraannya.

Itu antara bentuk gangguan seksual paling biasa dalam ruang persekitaran tempat kerja sehingga menjadi satu 'normalisasi' bahawa perkataan jelik yang digunakan rakan sekerja hanya berbentuk gurauan.

Untuk rekod, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan ada 477 kes gangguan seksual dilaporkan pada tahun lalu.

Berdasarkan laporan Unicef Malaysia pada 2021, sekurang kurangnya empat peratus daripada kanak-kanak berumur 12 hingga 17 tahun yang menggunakan internet mengalami ancaman eksploitasi dan penderaan seksual yang jelas dalam talian.

Wanita adalah golongan paling terdedah dengan gangguan seksual di tempat kerja sehingga wujud kes mangsa mengambil keputusan berhenti kerja akibat tidak tahan dijadikan 'bahan' gangguan seksual rakan sekerja lelaki.

Gangguan seksual tempat kerja yang biasa didengari adalah berbentuk gurauan, namun adakalanya ia membabitkan sentuhan jika mangsa tidak tegas mencegah perkara itu.

Lazimnya, pekerja lelaki akan mencuba 'bahan gurauan jelik' dahulu untuk melihat maklum balas 'mangsa sasaran' dan jika penerimaannya positif, tidak hairan ia akan membabitkan sentuhan dalam jangka panjang.

Wanita sebenarnya perlu tegas menolak sebarang bentuk gurauan, perkataan, percakapan atau perbualan yang menjurus kepada gangguan seksual di tempat kerja.

Penolakan yang tegas daripada wanita mampu mencegah normalisasi berkenaan.

Mendepani normalisasi gangguna seksual itu, kerajaan mengambil langkah signifikan melalui penggubalan Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sebagai suatu akta khusus untuk membendung kesalahan gangguan seksual supaya tidak terus dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.

Jelas, akta berkenaan digubal sebagai satu manifestasi penting bahawa kesalahan gangguan seksual adalah pelanggaran kepada hak asasi manusia dan wajib dihentikan.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menggubal Akta Antigangguan Seksual 2022 (Akta 840) sebagai akta khusus untuk menangani kesalahan gangguan seksual.

Akta ini diwartakan pada 18 Oktober tahun lalu bagi membantu mangsa tampil melaporkan kes gangguan seksual supaya tindakan sewajarnya dapat diambil dan remedi dapat diberikan kepada mangsa.

Penguatkuasaan akta ini sudah dilaksanakan secara berperingkat mulai 28 Mac lalu membabitkan takrifan gangguan seksual dan elemen kesedaran, pendidikan serta pemahaman mengenai gangguan seksual kepada masyarakat.

Selain itu, KPWKM melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga membangunkan Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual berdasarkan seksyen 25 Akta 840.

Akta ini digubal sebagai suatu dasar baharu yang lebih inklusif dalam menangani perlakuan gangguan seksual dan sebagai alternatif kepada perundangan sedia ada seperti Akta 574 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 6:30 AM