RINA Harun. FOTO arkib NSTP
RINA Harun. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedang menggubal Draf Rang Undang-Undang Anti-Gangguan Seksual (RUU AGS) supaya tiada lagi kelompongan perundangan sedia ada.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun berkata, pihaknya sentiasa peka dan mengambil serius terhadap isu gangguan seksual yang berlaku dalam masyarakat dan kementeriannya menyedari wujudnya kekakangan daripada sudut perundangan dan polisi sedia ada.

Katanya, kekangan itu termasuklah daripada segi beban pembuktian yang tinggi, ketiadaan remedi khusus kepada mangsa selain wujudnya isu 'under-reporting' (kurang pelaporan) kerana mangsa takut dan malu untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa.

"Berikutan itu, KPWKM sedang mula menggubal draf RUU AGS secara kolektif melalui sebuah pasukan projek khas dengan penyertaan pelbagai pihak daripada wakil kementerian dan agensi yang berkaitan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli akademik yang berpengalaman dan berpengetahuan berkaitan perkara ini.

"KPWKM turut mengadakan sesi libat urus termasuk bersama Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia, PROLINTAS, Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia, dan Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata sebagai usaha untuk mendapatkan input untuk penggubalan RUU AGS ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Rina, pihaknya kini turut bekerjasama dengan Jabatan Peguam Negara dan sedang menunggu 'white bill' atau kelulusan daripada jabatan berkenaan sebelum RUU itu dapat dikemukakan untuk kelulusan Jemaah Menteri sebelum dibentang di Parlimen yang dijangka pada tahun ini juga.

"Saya ingin tegaskan bahawa penggubalan RUU ini tetap menjadi keutamaan kementerian, walaupun draf berkenaan masih disemak namun kes gangguan seksual yang sedang ditangani kini akan menggunakan pelbagai akta dan peraturan lain.

"Ia termasuklah Kanun Keseksaan [Akta 574], Akta Kerja 1995 [Akta 265], Peraturan 4A, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U (A) 395/1993] dan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2018 iaitu Garis Panduan Pengendalian Kes Gangguan Seksual di Tempat Kerja dalam Perkhidmatan Awam.

"Kementerian menggesa mangsa untuk terus tampil membuat laporan segera kerana Akta dan peraturan sedia ada boleh dikuatkuasakan untuk melindungi kepentingan dan keselamatan mangsa," katanya.

Dalam pada itu, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai ganggual seksual, Rina berkata kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) juga sedang mempergiatkan programadvokasi untuk mengelakkan perlakuan tidak bermoral itu daripada terus berleluasa sama ada secara fizikal, visual atau sebarang bentuk lain.

"Setakat Julai lalu, terdapat 65 program kesedaran dan advokasi berkaitan gangguan seksual sudah dilaksanakan oleh JPW dengan pembabitan seramai 10,952 peserta dari seluruh negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 11:09 AM