Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini dikatakan menjadi faktor berlakunya kekurangan bekalan ikan di pasar basah di daerah ini.

Ia sekali gus menyebabkan berlaku peningkatan harga bagi sesetengah jenis ikan yang sering menjadi permintaan pengguna seperti ikan selar, ikan kembung dan ikan tongkol.

Tinjauan NSTP di Pasar Bukit Besar di sini mendapati ikan selar dan ikan tongkol dijual dengan harga RM14 sekilogram (kg) berbanding hanya RM10 hingga RM12 kg manakala harga ikan kembung bersaiz besar juga mencecah sehingga RM24 kgberbanding RM18 kg

Peniaga Mohd Helmi Ibrahim, 42, berkata, harga beberapa jenis ikan menunjukkan sedikit kenaikan berikutan kekurangan bekalan disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

"Dalam sebulan, kita ada hari yang dipanggil hari cerah (bulan mengambang) dan biasanya ketika itu, nelayan pantai kurang ke laut kerana ketika itu hasil tangkapan berkurangan.

"Malah, ketika ini keadaan cuaca juga tidak menentu dan ia sedikit sebanyak memang akan mengurangkan hasil tangkapan sekali gus menyebabkan bekalan ikan juga terganggu.

"Jadi kita hanya mengharapkan nelayan laut dalam dan sebab itu ada sesetengah ikan itu berkurangan dan berlaku kenaikan harga," katanya.

MOHD Helmi menyusun bekalan ikan yang dijualnya di Pasar Bukit Besar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply
MOHD Helmi menyusun bekalan ikan yang dijualnya di Pasar Bukit Besar. FOTO Zatul Iffah Zolkiply

Seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Pok Ki, 68, berkata, dia tetap meneruskan perniagaan seperti biasa walaupun berlaku kekurangan bekalan dan kenaikan harga.

"Memang ada pengurangan sedikit bekalan kita terutama bagi beberapa jenis ikan yang selalu dibeli pelanggan seperti ikan kembung, selar dan tongkol.

"Setakat ini, kita masih boleh jual lagi cuma harganya sedikit tinggi dan kita memang akan bagi tahu pelanggan yang biasanya adalah pelanggan tetap.

"Jika diikutkan keadaan ini masih lagi terkawal tetapi kita bimbang akan berlaku kenaikan yang mendadak apabila tiba musim tengkujuh nanti," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pasar sama mendapati bekalan sayur mencukupi walaupun terdapat berlaku kenaikan harga bagi sesetengah jenis sayuran.

Seorang peniaga dikenali sebagai Di, 32, berkata, bunga kobis menunjukkan kenaikan harga yang tinggi apabila dijual dengan harga RM15 kg berbanding RM8 hingga RM10 kg.

"Jika diikutkan harga sayuran ini tak tetap, ada naik turun namun masih terkawal dan bekalan juga masih mencukupi walaupun kita keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.

"Sayur-sayuran lain tidak ketara sangat kenaikan harga malah ada yang tidak menunjukkan kenaikan seperti bendi yang dijual dengan RM7 kg.

"Setakat ini, harganya masih terkawal dan bekalan juga mencukupi untuk pelanggan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 September 2022 @ 3:25 PM