Gambar hiasan
Gambar hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Petaling Jaya: Penipuan dalam talian di Selangor terus berada pada tahap membimbangkan apabila sejumlah RM92.8 juta kerugian dicatat dalam tempoh Januari lalu hingga hari ini.

Dalam tempoh sembilan bulan itu juga, kes penipuan menyumbang 76.9 peratus daripada rekod jenayah komersil negeri.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor, Asisten Komisioner Azman Ali berkata, sejumlah 2,011 kes adalah penipuan dalam talian, manakala 601 kes penipuan bukan dalam talian.

Menurutnya, polis turut mengesan trend baharu penipuan yang kian meningkat yakni tawaran kerja termasuk yang tidak wujud.

"Trend penipuan kini berubah seiring perkembangan teknologi, sudah tidak perlu dilakukan secara bersemuka.

"Mangsa juga tidak mengenali suspek kerana semuanya dilakukan secara dalam talian," katanya pada Forum Kesedaran Anti-Scam di sini, hari ini.

Beliau turut memperincikan latar belakang mangsa mengikut jenis penipuan, yang mana Macau Scam menyasarkan individu yang mempunyai simpanan wang yang banyak.

Azman berkata, penipuan e-dagang pula memperdaya dua kategori mangsa iaitu pembeli barang dan penjual.

"Selain penipuan menerusi telefon seperti Macau Scam, penjenayah terbabit akan menggunakan pelbagai helah untuk mendapatkan maklumat perbankan daripada mangsa dan lebih merumitkan keadaan apabila mangsa lambat menyedari wang mereka telah lesap.

"Trend terbaharu yang dikesan adalah mereka (scammer) akan bagi pautan dan apabila tekan (pautan) dia akan suruh kita isi maklumat peribadi.

"Kadang-kadang dia bagi link kononnya Bank Negara Malaysia tetapi sebenarnya tanpa kita sedar, telah masuk ke pautan scammer," katanya.

Kongsinya, sindiket akan menggunakan nombor telefon yang didaftar menggunakan pasport diperoleh secara haram, manakala akaun bank dibeli pada harga RM500 daripada pemilik asal bagi tujuan pindahan wang.

"Wang yang dimasukkan ke dalam akaun keldai terbabit akan dipindahkan ke beberapa akaun keldai lain sebelum akhirnya dikeluarkan dalam tempoh yang singkat. Sebab itulah ia sukar untuk dijejaki.

"Sindiket ini memang bijak... mereka dah kaji cara untuk elak ditangkap polis. Mereka gunakan nombor telefon didaftarkan atas warga asing di negara lain dan guna akaun keldai yang mereka dapatkan daripada media sosial," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, sebanyak 435 kes penipuan dalam talian dilapor pada Januari hingga Ogos lalu di daerah itu.

"Sepanjang tempoh itu, kita berjaya menahan 387 individu yang disyaki berkait penipuan dalam talian dan sebanyak 224 kes pula berjaya dituduh di mahkamah," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, penipuan tertinggi adalah menerusi panggilan telefon dan menyamar agensi tertentu yang membabitkan 150 kes dengan kerugian lebih RM9 juta.

Katanya, siasatan turut menjejak keldai akaun untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Akta Komputer 1997.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 September 2022 @ 4:57 PM