AKTIVITI tubing.
AKTIVITI tubing.
Muhamaad Razis Ismail


Sebelum ini, Rozani Abd Shukor Heng menjadi pemandu pelancong membawa pelancong dari negara ini ke Jepun.

Bagaimanapun, selepas pandemik Covid-19 melanda di seluruh dunia, dia terpaksa pulang ke Malaysia.

Dengan kemahiran yang dimiliki, dia memberi fokus terhadap aktiviti melancong domestik yang turut menawarkan banyak tempat menarik.

Antara lokasi yang dijelajahi adalah Air Terjun Jelawang, Kuala Krai, Kelantan pada Ogos dan September tahun lalu.

Selain itu, pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan di sini termasuk meneroka gua, menaiki kenderaan serba rupa bumi (ATV), mandi sungai dan 'flying fox'.

Rozani berkata, idea untuk ke air terjun di Taman Negeri Gunung Stong ini tercetus selepas melihat laman sosial rakan mengenai kampungnya.

Katanya, dia kemudian membuka pendaftaran untuk membawa peserta wanita yang berminat di samping mahu membantu pemandu pelancong tempatan menambah pendapatan.

"Alhamdulillah sambutan sangat menggalakkan dan kami bertolak dari Pulau Pinang pada jam 12.30 tengah malam sebelum tiba di Jelawang Pipe Resort & Extreme Park, Dabong, 8 pagi.

"Kami menginap selama satu malam dalam paip simen yang diubah suai kepada penginapan yang selesa," katanya.

TERUJA mengabadikan kenangan di Kem Baha.
TERUJA mengabadikan kenangan di Kem Baha.

Menurutnya, selepas berehat, sekitar 11 pagi, mereka memulakan aktiviti 'flying fox' merentasi sungai yang berada di tepi resort dengan jarak 180 meter.

"Dengan aktiviti ini, kami dapat melihat keindahan alam semula jadi sambil 'terbang'. Biarpun agak gayat, rata-rata peserta sangat teruja.

"Kemudian kami menikmati makan tengah hari sebelum membuat aktiviti tubing di sungai berhampiran sehingga petang.

MENEROKA gua.
MENEROKA gua.

"Selepas itu, kami melakukan aktiviti di sekitar resort. Ada dalam kalangan kami menaiki ATV dan barbeku," katanya.

Pada malam itu, mereka tidur awal kerana perlu bangun sebelum 4 pagi untuk mendaki ke Kem Baha.

"Pendakian dimulakan 4.30 pagi dengan ditemani malim gunung berpengalaman. Biarpun berdepan cabaran termasuk serangan pacat, 'pancit' dan sebagainya, kami berjaya tiba sejam kemudian.

AIR Terjun Jelawang yang ikonik.
AIR Terjun Jelawang yang ikonik.

"Bagaimanapun, penat mendaki terus hilang sebaik dihidangkan dengan keindahan matahari terbit sambil ditemani bunyi deruan air terjun. Peserta tidak melepaskan peluang mengambil gambar sebagai kenangan," katanya.

Rozani berkata, mereka berada di sana sehingga 11 pagi sebelum turun ke tempat permulaan pendakian.

"Sebaik tiba di bawah, kami sempat mandi di air terjun sebelum bersiap dan bertolak pulang.

"Secara keseluruhan, biarpun tempoh percutian yang agak singkat semua peserta memberi maklum balas positif kerana dipenuhi pelbagai aktiviti menarik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 6:35 AM