KOTAK berisi pod vape dan cecair perisa bernilai RM253,000 dirampas anggota PGA7 di Jalan Tepi Sungai awal pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
KOTAK berisi pod vape dan cecair perisa bernilai RM253,000 dirampas anggota PGA7 di Jalan Tepi Sungai awal pagi tadi. FOTO IHSAN PGA7
Syaherah Mustafa

Rantau Panjang: Sebanyak 4,248 unit pod vape dan 1,700 botol cecair vape pelbagai perisa bernilai RM253,000 dirampas Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) di Jalan Tepi Sungai di sini, pagi hari ini.

Jumlah rampasan itu membabitkan nilai pod vape sebanyak RM108,000 dan cecair berjumlah RM145,000 dipercayai untuk diseludup masuk ke negara jiran.

Pegawai Pemerintah PGA7 Superintendan Azhari Nusi berkata, cubaan menyeludup itu dikesan anggota bertugas selepas terserempak dengan sekumpulan lelaki sedang memunggah kotak sebuah rumah ke dalam perahu yang sedia untuk membawa barangan berkenaan ke tebing sungai negara jiran.

"Sebaik anggota menghampiri kumpulan lelaki berkenaan, mereka bertindak melarikan diri menggunakan perahu ke negara jiran. Anggota kemudian membuat pemeriksaan pada rumah yang tidak berpenghuni sebelum mendapati terdapat susunan kotak.

"Hasil pemeriksaan dalam kotak terbabit ditemukan pod vape serta cecair pelbagai perisa dan kesemuanya dirampas untuk dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang bagi siasatan lanjut.

"Barang kes turut diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan seterusnya dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Dalam perkembangan lain, Azhari turut berkongsi kejayaan pihaknya menahan dua lelaki berusia 28 dan 52 tahun bersama 7.8 gram dadah jenis syabu bernilai RM700 di sekatan jalan raya (SJR) Lalang Pepuyu, Tanah Merah semalam.

"Kedua suspek yang menaiki kereta melalui SJR berkenaan dalam keadaan mencurigakan sebelum anggota menahan mereka dan meminta kad pengenalan diri sebelum membuat pemeriksaan di dalam kenderaan.

"Anggota menemui 13 paket lut sinar berisi dadah berkenaan di dalam kereta selain merampas wang tunai sebanyak RM1,069 pada suspek pertama dan RM515 pada suspek kedua.

"Mereka berdua kemudiannya ditahan, manakala kereta serta dadah dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39A dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 3:43 PM