RUMAH kedai yang terbakar di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Melawati. FOTO Ihsan Bomba
RUMAH kedai yang terbakar di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Melawati. FOTO Ihsan Bomba
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Lima rumah kedai dua tingkat berusia lebih 100 tahun di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Melawati, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Kejadian 5.15 pagi itu membabitkan dua premis kosong, kedai baju, tokong persendirian dan rumah burung layang-layang.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada 5.20 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Jaya, Sekinchan dan Sungai Besar dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Semua pemilik kedai tiada di tempat kejadian ketika kebakaran dan kerja pemadaman masih lagi dijalankan. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Anggaran peratusan kemusnahan untuk kelima-lima rumah kedai itu adalah 80 peratus," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2022 @ 9:18 AM