Oleh Junaidi Ladjana

Semporna: Sederet tiga premis perniagaan musnah dalam kebakaran membabitkan kerugian lebih RM250,000 di kilometer 47 Jalan Semporna - Tawau berdekatan Ladang Kalupang, dekat sini, malam tadi.

Kejadian jam 8.50 malam itu, membabitkan kedai menjual dan membaiki motosikal, restoran dan kedai runcit.

Ketika kejadian tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan kerana ketika kejadian semua premis sudah ditutup.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Mohd Razali Awang Ahmad berkata, dua jentera dan 13 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran terbabit.

"Api berjaya dikawal pada jam 11.18 malam dan tiga premis itu musnah. Bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Anggaran awal kerugian lebih RM250,000 dan punca kebakaran masih dalan siasatan," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 September 2014 @ 3:13 PM