Nor Hidayah Mohd Esa memangku Nur Irdina Iman. FOTO Adnan Ibrahim.
Nor Hidayah Mohd Esa memangku Nur Irdina Iman. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim

SUAMI isteri merayu orang ramai yang mengenali wanita dikenali Pussadee Uthai, 30-an, supaya tampil menyalurkan maklumat.

Ini bagi membolehkan mereka berbincang mengenai masa depan anak wanita itu yang ditinggalkan kepada pasangan berkenaan sejak tahun lalu.

Ahmad Zulfadli Zulkifli, 33, berkata, dia dan isterinya, Nor Hidayah Mohd Esa, 30, mula menjaga bayi perempuan yang dinamakan Nur Irdina Iman, 1, ketika dia berusia lima bulan.

“Pada 14 Mei 2018 seorang pengawal keselamatan di Terminal Pengangkutan Awam Segamat, memaklumkan kepada kami niat seorang wanita yang mencari orang yang sanggup menjaga dan membesarkan anaknya.

“Sebaik mengetahui niat wanita itu (Pussadee), kami terus berjumpa dan berbincang sebelum dia bersetuju menyerahkan anaknya kepada kami,” katanya ketika di Kluang, hari ini.

Bagaimanapun, Ahmad Zulfadli berkata, Pussadeee yang tidak diketahui kewarganegaraannya hanya menyerahkan buku rekod kesihatan dan Surat Pengesahan Kelahiran yang tiada butir berkaitan diri dan suaminya.

“Dia menyerahkan zuriat yang dilahirkan di sebuah klinik swasta di Segamat kepada kami atas alasan tidak mampu menjaganya kerana ada masalah dengan suami serta keluarga.

“Selepas menyerahkan bayi itu, dia menghilangkan diri, malah nombor telefon di dalam Surat Pengesahan Kelahiran gagal dihubungi,” katanya.

Menurutnya, dia kini menghadapi kesukaran untuk mendaftar kelahiran Nur Irdina dan status anak itu kini diletakkan sebagai orang bukan warganegara serta tidak boleh memiliki Mykid.

“Saya bimbang masa depan Nur Irdina sama ada untuk mendaftar sekolah atau mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Atas sebab itu kami rayu ibu bapa bayi ini terutama Pussadee tampil membantu,” katanya.

Dia juga berharap untuk mengambil anak itu sebagai anak angkat yang sah didaftarkan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Orang ramai boleh menghubunginya di talian 011-2649 4478.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 January 2019 @ 5:54 PM