Keadaan lori yang melanggar sebuah motosikal menyebabkan pemboncengnya maut dalam kemalangan di Jalan Bagan Pasir, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Keadaan lori yang melanggar sebuah motosikal menyebabkan pemboncengnya maut dalam kemalangan di Jalan Bagan Pasir, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Oleh Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: Hasrat seorang wanita mahu ke gerai untuk berniaga bertukar tragedi apabila maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Bagan Pasir, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 5.20 petang itu, mangsa, 43, yang berniaga burger dikatakan

membonceng motosikal yang ditunggang anak lelakinya berusia 20 tahun.

Bagaimanapun, motosikal mereka dipercayai gagal mengelak sebuah lagi motosikal ditunggang seorang remaja perempuan berusia 15 tahun yang keluar dari simpang kiri jalan secara tiba-tiba.

Kejadian menyebabkan motosikal dua beranak itu melanggar motosikal remaja perempuan terbabit lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa, berkata nahas itu membabitkan dua motosikal iaitu Honda 125 dan Honda 97 serta sebuah lori.

Beliau berkata, Honda 125 ditunggang dua beranak itu dari Tanjong Karang menghala ke Bagan Pasir.

"Apabila melalui jalan berselekoh, Honda 125 itu gagal mengelak Honda 97 yang keluar simpang secara tiba-tiba lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan.

"Motosikal terbabit kemudian dilanggar oleh lori di bahagian hadapan. Akibat pelanggaran itu, pembonceng Honda 125 cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Ramli berkata, penunggang Honda 125 dan Honda 97 pula cedera ringan. Manakala pemandu lori berusia 42 tahun tidak cedera.

Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tanjong Karang (HTK) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 September 2022 @ 4:31 PM