Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Rakyat dinasihati supaya berwaspada dengan ancaman penjajahan moden yang muncul hasil arus globalisasi yang menyerang pemikiran dan budaya khususnya generasi muda.

Menteri Besar Ahmad Yakob berkata, meskipun Malaysia sudah bebas daripada penjajahan fizikal namun ancaman bentuk baharu seperti itu mengelirukan pemikiran masyarakat.

Contoh, penularan berita palsu serta fitnah.

"Kita mengakui bahawa arus globalisasi membawa pelbagai kebaikan namun realitinya, juga kita berhadapan pelbagai bentuk penjajahan moden.

"Betapa hebatnya penjajahan bentuk baharu muncul seperti serangan pemikiran dan budaya, khususnya yang banyak mempengaruhi generasi muda, manakala penularan berita palsu dan fitnah akan mengelirukan pemikiran masyarakat.

"Isu penyebaran berita palsu ini boleh menjejaskan keselamatan negara serta perpaduan rakyat kerana ia umpama duri dalam daging," katanya pada ucapan sempena sambutan Hari Kemerdekaan peringkat negeri Kelantan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPi) di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Nazran Muhammad.

Sambil merujuk kepada masyarakat di negara ini yang hidup secara majmuk, Ahmad berkat,a senario itu sangat bertepatan dengan tema 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama'.

Beliau turut menyamakan keadaan itu dengan pentadbiran di Kelantan di bawah dasar 'Membangun Bersama Islam' yang mana kerajaan negeri akan sentiasa prihatin serta meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai asas yang paling utama.

"Nikmat keamanan dan keharmonian dalam masyarakat majmuk yang kita kecapi hari ini adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi dahulu yang terdiri daripada barisan pemimpin yang bijaksana, ulama yang mendidik dan perajurit yang berjuang.

"Dalam tempoh 65 tahun kemerdekaan, sudah tentu mengajar kita banyak perkara supaya negara kekal sebagai negara berdaulat, makmur, sejahtera rakyatnya, dan kukuh jati diri serta dihormati prinsipnya di persada antarabangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 Ogos 2022 @ 3:07 PM
Ahmad Yakob (dua dari kiri) bersama Mohd Amar (dua dari kanan)  ketika hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat negeri Kelantan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Ahmad Yakob (dua dari kiri) bersama Mohd Amar (dua dari kanan) ketika hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2022 Peringkat negeri Kelantan di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR