Antara laporan Portal Berita Harian Metro mengenai berita palsu.
Antara laporan Portal Berita Harian Metro mengenai berita palsu.
Muhamaad Razis Ismail


KERAJAAN negeri Kelantan menyambut baik usaha kerajaan pusat mahu memperkenalkan undang-undang menangani penyebaran berita palsu di negara ini.

Timbalan Menteri Besarnya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, langkah itu dapat mengekang berita yang boleh mengelirukan dan mencetuskan persepsi tidak benar dalam kalangan masyarakat.

"Kita setuju dan kita sambut baik langkah ini kerana berita palsu boleh mencetuskan banyak masalah termasuk memberi gambaran salah dan persepsi negatif.

"Jadi usaha kerajaan tangani benda (berita palsu) ini amat sesuailah dengan konteks hari ini sebab ada banyak media sosial siarkan maklumat tidak benar dan boleh mencetuskan ketegangan dalam kalangan masyarakat," katanya ketika ditemui media selepas Mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, hari ini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan kerajaan bersedia mengkaji memperkenalkan undang-undang bagi menangani penularan berita palsu di negara ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dipetik berkata, langkah itu untuk mengelakkan ancaman kestabilan politik dan ketenteraman awam.

Mengulas lanjut, Mohd Amar berkata, dalam Islam sendiri turut menekankan maklumat yang benar dan tepat.

"Sebab itu, saya sentiasa pesan kepada akhbar dan wartawan supaya menulis kena betul sebab ada tanggungjawab esok di akhirat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2018 @ 12:45 PM