KOMPLEKS D yang menempatkan KSM.
KOMPLEKS D yang menempatkan KSM.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Sistem bernombor yang dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi sesi temu duga untuk pengambilan pekerja asing disifatkan sebagai menyusahkan majikan.

Malah, majikan yang hadir ke kementerian berkenaan untuk mengambil nombor giliran juga perlu melalui beberapa peringkat sebelum dibenarkan untuk menjalani proses temu duga.

Difahamkan, KSM hanya memperuntukkan 300 nombor sehari untuk menjalani temu duga, bagaimanapun jumlah majikan yang hadir di Kompleks D, di sini melebihi daripada jumlah yang diperuntukkan.

Lebih memenatkan, majikan yang hadir perlu beratur untuk mendapatkan pas masuk di pondok pengawal, sebelum beratur sekali lagi untuk mendapatkan nombor giliran.

Majikan yang berjaya mendapatkan nombor perlu beratur sekali lagi di pintu masuk kementerian untuk proses temu duga, manakala majikan yang gagal mendapatkan nombor yang diperuntukkan perlu hadir keesokan harinya dan melalui proses yang sama.

Sementara itu, Pengarah Urusan sebuah kilang penyembelihan, Jammaluddin Samad berkata, sesi temu duga yang diadakan di ibu pejabat KSM di sini, dilihat tidak praktikal kerana kementerian berkenaan mempunyai cawangan di setiap negeri.

Malah, beliau yang hadir di hadapan pondok pengawal sejak jam 6.40 pagi itu juga tidak dapat nombor giliran dan terpaksa pulang dengan perasaan hampa.

"Untuk melepasi pondok pengawal pun mengambil masa hampir dua jam. Sebelum ke sini saya solat Subuh di Masjid Putra dan hanya dapat nombor giliran untuk esok. Hari ini sudah habis," katanya.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan permohonan bagi pengambilan pekerja warga asing tidak lagi dibekukan bermula 19 Ogos lalu.

Beliau dipetik berkata, walaupun sebelum ini pengambilan berkenaan dihentikan buat sementara waktu, namun ia dibuka semula selepas mengambil kira permintaan pihak industri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Ogos 2022 @ 5:03 PM