GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mahani Ishak


Kuala Lumpur: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) mengesahkan beberapa produknya akan dijual dengan harga baharu mulai 1 September atau Khamis ini.

Pihak Pengurusan Gardenia KL berkata, bermula dari tarikh itu, enam produknya akan dijual dengan harga baharu yang mana ia membabitkan kenaikan antara 10 sen hingga 50 sen.

"Perubahan harga itu membabitkan Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3; Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4; rangkaian Gardenia Toast'em daripada RM5 kepada RM5.50; Gardenia Twiggies RM1.80 kepada RM2; Gardenia Waffles RM1.40 kepada RM1.50 dan Roti Krim Gardenia RM1 kepada RM1.10.

"Pelarasan harga roti putih Gardenia Original Classic ialah sebanyak tujuh peratus atau 20 sen, berbanding kenaikan harga tepung berprotein tinggi sebanyak 25 peratus.

"Bagaimanapun, roti Gardenia Bonanza Keluarga dikekalkan pada RM2.75 sebuku, harga mampu-milik untuk roti putih dengan berat 500 gram," katanya dalam kenyataan, lewat petang hari ini.

Katanya, Roti Bonanza Keluarga Gardenia ini adalah lebih menjimatkan dan sesuai untuk keluarga yang lebih besar.

Sebagai perbandingan untuk setiap 100g, roti Gardenia Bonanza Keluarga (RM0.55) adalah lebih murah berbanding roti Gardenia Original Classic (RM0.75).

Beberapa hari ini, tular satu surat mengenai perubahan harga iaitu pemakluman daripada Ketua Pegawai Eksekutif Gardenia KL, Koh Chin Huat, dalam suratnya kepada peruncit yang menyenaraikan 53 produknya akan menggunakan harga baharu berkuat kuasa Khamis depan.

Gardenia KL menjelaskan kenaikan itu adalah kerana pihaknya seperti perniagaan lain, berhadapan dengan cabaran pasca Covid-19 termasuk pematuhan kepada keperluan keselamatan kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan (KKM).

Selain itu katanya, bencana banjir yang melanda kawasan Shah Alam pada Disember tahun lalu, serta krisis rantaian bekalan global dan pelaksanaan gaji minimum berkuat kuasa 1 Mei lalu memberikan kesan ketara kepada kos operasi.

"Dalam beberapa bulan ini, Gardenia KL terkesan dengan kenaikan harga bahan mentah seperti tepung berprotein tinggi iaitu mengalami kenaikan 25 peratus, serbuk putih telur (lebih daripada 100 peratus) tepung gandum, gluten, susu skim, bread improver dan bahan-bahan pembungkusan roti.

"Selain itu, terdapat faktor di luar kawalan kami ini, pelaksanaan gaji minimum yang wajib dipatuhi oleh majikan, turut memberi kesan kepada kos operasi Gardenia KL.

"Hasil daripada semakan dan analisa terperinci, serta mengambil kira beberapa pilihan yang ada, Gardenia KL menyemak semula harga runcit bagi produk-produknya berkuat kuasa 1 September," katanya.

Katanya, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan, serta memastikan bekalan yang optimum dan harga yang berpatutan untuk semua produk kami.

"Bagi Gardenia KL, menaikkan harga adalah langkah terakhir selepas semua usaha bagi memaksimumkan kecekapan operasi sudah dilaksanakan terlebih dahulu.

"Kami kekal komited kepada semua pelanggan kami untuk membekalkan roti segar 365 hari setahun, 7 hari seminggu, tanpa mengira hujan atau panas. Kami berterima kasih atas sokongan dan kepercayaan pelanggan kami selama ini," katanya.

Untuk rekod, Gardenia KL sebelum ini sudah menaikkan harganya pada 1 Disember 2021, dengan Original Classic 400g dinaikkan kepada 30 sen, manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan kepada 45 sen.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Ogos 2022 @ 8:59 PM