ROTI Gardenia
ROTI Gardenia
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, pengeluar roti jenama Gardenia mengesahkan pihaknya kini dalam proses semakan semula harga bagi semua produk keluaran syarikat itu berkuat kuasa 1 Disember depan.

Syarikat itu dalam satu kenyataan tadi memaklumkan, langkah itu dilakukan berikutan peningkatan ketara dalam kos pengeluaran dan bahan yang di luar kawalan pihaknya.

Kenyataan itu turut mengakui Gardenia KL amat terkesan serta berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah selama ini.

"Keadaan ini meletakkan Gardenia KL dalam kedudukan sukar tanpa sebarang pilihan kecuali menyemak semula harga bagi produk kami.

"Semakan harga ini membabitkan produk tertentu yang mengekalkan harga sama selama bertahun-tahun, termasuk rangkaian roti Gardenia Original Classic termasuk produk lain iaitu Gardenia Delicia, ban, roti krim, mufin, Gardenia Twiggies, wafel dan Gardenia NuMee.

"Semakan harga ini dilaksanakan berikutan kenaikan harga bahan mentah antara lain termasuk tepung, tepung gandum penuh, lemak sayuran, serbuk koko, susu dan pembungkusan," katanya.

Menurutnya, Gardenia KL akan terus memberi tumpuan menggiatkan usaha untuk mengoptimumkan produktiviti dan kecekapan di kilang mereka.

"Bagi Gardenia KL, kenaikan harga adalah langkah terakhir selepas semua usaha digembleng terlebih dahulu.

"Kami amat menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan kami selama ini dan berharap anda memahami keputusan sukar yang terpaksa kami laksanakan," katanya.

Katanya, walaupun dengan segala cabaran yang dihadapi sepanjang pandemik Covid-19, Gardenia KL terus memenuhi komitmen kepada pengguna 365 hari setahun, tujuh hari seminggu, tidak kira hujan atau panas.

"Dalam pada itu, kami terus berusaha meningkatkan produktiviti dan kecekapan, untuk menjamin bekalan optimum dan harga berpatutan bagi produk kami di Malaysia.

"Sambil negara di seluruh dunia termasuk Malaysia, bangkit dan memulakan usaha pemulihan untuk membina semula kekuatan ekonomi, kesan berpanjangan pandemik ini masih dirasai.

"Harga pengguna global terus terkesan akibat kos tenaga dan bahan mentah yang kian meningkat dan juga cabaran yang timbul daripada kekangan rantaian bekalan," katanya.

Katanya, Gardenia KL juga amat terkesan akibat cabaran itu dan berusaha sedaya upaya untuk menyerap kenaikan harga bahan mentah selama ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 5:12 PM