GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan sebahagian dari produk syarikatnya akan mengalami kenaikan harga mulai 1 Oktober ini. FOTO BERNAMA
GARDENIA Bakeries (KL) Sdn Bhd mengesahkan sebahagian dari produk syarikatnya akan mengalami kenaikan harga mulai 1 Oktober ini. FOTO BERNAMA
Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: "Harap jangan naikkan harga roti putih sebab itu yang memang popular orang makan. Yang lain jika tidak dapat elak untuk dinaikkan harga, kita sebagai pengguna terima, cuma janganlah terlalu membebankan," kata Rahimee Md Haza, 52.

Pengurus sebuah syarikat perkapalan itu memberi ulasan mengenai harga roti Gardenia terpilih akan dinaikkan bermula 1 Oktober ini.

Beliau yang tinggal di Damansara berkata, berdasarkan apa difahaminya adalah kebanyakan produk yang dinaikkan harga itu adalah kegemaran anak kecil.

"Anak kecil terutama budak sekolah rendah memang suka buat bekalan roti pek kecil ke sekolah.

"Bagi saya kenaikan harga ini, ibu bapa kena urus dengan teliti perbelanjaan mereka.

"Saya berpandangan tidaklah memberi kesan ketara kerana perubahan harga amat minima. Tetapi roti putih janganlah dinaikkan, kena kawal.

"Kita sebagai pengguna khususnya ibu bapa perlu juga memahami bahawa makanan ruji dunia sudah naik sekitar 30 peratus seperti gandum, barli dan oat. Jadi, negara Malaysia pasti menerima tempiasnya," katanya.

Menurutnya, kenaikan produk terpilih Gardenia yang tidak termasuk roti putih itu tidak memberi kesan ketara kepada pasangan yang tidak mempunyai anak atau anak sudah besar.

Sementara itu, suri rumah, Anisah Saat, 55, berkata, dia ada menerima senarai kenaikan harga membabitkan produk Gardenia menerusi WhatsApp pada minggu ini.

Menurutnya, pengguna sememangnya kena sesuaikan diri dengan harga baru itu namun pada masa sama kerajaan perlu bantu kawal jangan sampai ia membebankan.

"Harga makanan berasaskan tepung di negara kita turut bergantung kepada harga pasaran dunia. Menerusi pembacaan kita tahu hakikat bahawa makanan asasi mengalami kenaikan di seluruh dunia termasuk gandum dan beras.

"Ia turut disumbangkan dengan perubahan iklim dunia yang tidak menentu, peningkatan kos import eksport selain nilai matawang kita yang jatuh.

"Pengguna khususnya rakyat memang akur namun diharapkan ada kawalan supaya kenaikan harga barangan makanan tidak mengalami perubahan terlalu ketara hingga membebankan," katanya.

Semalam dilaporkan, beberapa produk terpilih Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd (Gardenia KL) akan mengalami kenaikan.

Antara produk yang mengalami kenaikan adalah Puazz Sambal Bilis, Sambal Mackerel dan Kari Ayam, Quick Bites Butter Toffee dan Red Beans, Quick Bites Cream Rolls, Numee Yellow Noodle dan Numee Keluarga.

Pihak pengurusan Gardenia KL mengesahkan, perubahan harga itu berkuat kuasa 1 Oktober ini selepas pihaknya menyemak semula harga bagi produk terpilih.

Bagaimanapun, harga roti putih, roti gandum penuh dan roti Toast'em kegemaran ramai dikekalkan harganya supaya tidak membebankan majoriti pelanggan.

Kenyataan syarikat itu sekali gus menjawab isu kenaikan harga produknya yang tular di media sosial.

Untuk rekod, syarikat itu menaikkan enam harga produknya antara 10 sen hingga 50 sen pada 1 September tahun lalu.

Perubahan harga itu membabitkan Gardenia Original Classic daripada RM2.80 kepada RM3, Gardenia Wholemeal daripada RM3.60 kepada RM4, rangkaian Gardenia Toast'em daripada RM5 kepada RM5.50, Gardenia Twiggies RM1.80 kepada RM2, Gardenia Waffles RM1.40 kepada RM1.50 dan Roti Krim Gardenia RM1 kepada RM1.10.

Sebelum itu, pada 1 Disember 2021, syarikat itu juga menaikkan harga Original Classic 400g dinaikkan kepada 30 sen manakala Original Classic Jumbo 600g dinaikkan kepada 45 sen.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 September 2023 @ 12:54 PM