GAMBAR hiasan. Dewan Canselor Tun Abdul Razak di UKM, Bangi. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. Dewan Canselor Tun Abdul Razak di UKM, Bangi. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila buat julung kalinya dianugerahkan BrandLaureate BestBrands Awards 2021-2022 bagi kategori Nation's Pride baru-baru ini.

UKM dalam kenyataannya memaklumkan anugerah tersebut bertujuan mengiktiraf kejayaan universiti itu dalam pelbagai aspek dan bidang tujahan universiti sekali gus mengukuhkan jenama UKM sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi yang seimbang dari segi kecemerlangan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

"Anugerah ini memberi penghormatan kepada jenama cemerlang di Malaysia yang menunjukkan peningkatan dalam mempromosi serta memperkasakan penjenamaan mereka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan kejayaan UKM yang ditempa pada usia institusi itu mencecah 52 tahun, akan menjadi platform lonjakan dalam memperkemaskan langkah mencapai kedudukan yang lebih tinggi selepas ia merekodkan pencapaian ke-129 univeriti terbaik dunia dalam masa singkat.

"Kejayaan yang tercipta pada hari ini tidak hadir dengan mudah. Ia hasil pengorbanan dan perjuangan seluruh warga yang sentiasa bersatu hati dalam usaha memartabatkan UKM sebagai sebuah universiti watan yang tersohor dan disegani," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, menurut kenyataan itu kerangka atau TERAS yang merangkumi elemen Bakat, Etika, Memperkasa, Tangkas dan Jiwa menjadi rujukan serta panduan semua warga UKM terhadap hala tuju universiti dalam usaha meningkatkan pencapaian ke tahap yang tertinggi.

"Perkongsian terhadap kefahaman elemen TERAS ini membolehkan warga UKM secara kolektif merealisasikan agenda kecemerlangan universiti, sederap dengan aspirasi KPT (Kementerian Pengajian Tinggi). Inilah landasan yang dilalui oleh semua warga UKM dalam melaksanakan peranan mereka," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan selain memenuhi agenda pendidikan tinggi negara, elemen kemasyarakatan sentiasa dititikberatkan, bagi mengimbangi kecemerlangan warga universiti itu.

"Di saat negara berdepan dengan pandemik Covid-19, UKM turut berperanan dalam menyumbang kepada peratusan imuniti kelompok rakyat Malaysia melalui tiga inisiatif Pusat Pemberian Vaksin Institut Pengajian Tinggi (PPV IPT) yang beroperasi secara berpusat di Dewan Gemilang UKM dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) UKM.

"UKM turut melaksanakan pemberian vaksin secara pandu lalu di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-kanak UKM dan inisiatif PPV Bergerak oleh HCTM UKM, yang bertujuan melaksanakan misi pemberian suntikan vaksin dari rumah ke rumah," menurut kenyataan sama.

Dalam pada itu, ketika musibah banjir melanda negara baru-baru ini, ratusan warga UKM yang terdiri daripada pasukan perubatan, keselamatan, pensyarah dan lain-lain telah menjelajah ke serata kawasan yang terkesan bagi menghulurkan bantuan.

Justeru, anugerah yang diterima merupakan pemangkin buat kesemua warga UKM untuk meneruskan usaha bagi memperbaiki pencapaian sedia ada.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 6:20 PM