FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dijangka kembali beroperasi sebagai hospital bukan Covid-19 awal bulan hadapan, jika bilangan pesakit Covid-19 di hospital itu terus menurun.

Menurut pengarahnya Prof Datuk Dr Razman Jarmin, bilangan pesakit Covid-19 mula menurun sejak bulan ini berikutan trend penurunan kes di Lembah Klang dan jika ini berterusan, hospital itu akan kembali beroperasi sebagai hospital bukan Covid-19 seperti perancangan Strategik Jawatankuasa Gerak Balas Covid-19 HCTM.

"HCTM juga mendapati peningkatan kes bukan Covid-19 datang ke bahagian kecemasan. Fasa pemulihan untuk keperluan pesakit Covid-19 ke bukan Covid-19 telah dimulakan minggu ini dengan pengurangan katil pesakit," katanya dan menambah keperluan katil Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 masih lagi sama.

Beliau berkata, pihak pengurusan hospital itu akan terus menilai trend kedatangan pesakit Covid-19 dan jika trend penurunan menggalakkan, hospital itu dijangka kembali beroperasi seperti biasa awal bulan hadapan.

Selain HCTM, Hospital Pakar Kanak-Kanak (HPKK) UKM di Cheras turut dijadikan hospital Covid-19.

HCTM kini menempatkan 109 pesakit Covid-19 pelbagai kategori, sementara HPKK menempatkan 140 pesakit.

Di HCTM, pesakit kategori satu seramai dua orang, kategori dua (16 orang), kategori tiga (19 orang), kategori empat (53 orang) dan kategori lima (16 orang).

Di HPKK, pesakit kategori tiga (32 orang), kategori empat (39 orang) dan kategori lima (69 orang).

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman pula berkata, purata harian kemasukan pesakit Covid-19 di HCTM bagi Julai adalah 48 orang, manakala 19 orang sehari pada Ogos sekali gus menunjukkan jumlah penurunan yang agak ketara.

Trend harian kemasukan pesakit Covid-19 untuk seminggu turut menunjukkan penurunan dengan jumlah kemasukan pesakit baharu pada 26 Ogos ialah 10 orang, 27 Ogos (sembilan), 28 Ogos (tujuh), 29 Ogos (12), 30 Ogos (18), 31 Ogos (sembilan), 1 September (lima) dan 2 September (lapan)," katanya ketika ditemubual Bernama.

Menurut Mohd Ekhwan, seramai 900 pesakit pernah ditempatkan di HCTM dan sepanjang Ogos sahaja terdapat 257 orang pesakit iaitu 230 orang di wad Covid-19 dan 27 orang di ICU.

Ketiadaan penurunan dalam jumlah pesakit di HPKK adalah disebabkan hospital itu membantu mengurangkan pesakit Covid-19 di hospital di sekitar Lembah Klang terutamanya Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), katanya.

HCTM mula membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam pengurusan kes Covid-19 seawal Mac tahun lepas dan telah memulakan persediaan daripada segi fasiliti, peralatan dan petugas sejak Januari 2020.

Pada 30 Mac lalu, HCTM telah diisytiharkan sebagai salah satu hospital merawat pesakit positif Covid-19 dan dipilih menguruskan rawatan beberapa kluster utama ketika itu termasuk Kluster Malayan Mansion dan Kluster Tahfiz Madrasah Miftahul Ulum Seri Petaling.

HCTM selaku Hospital Pengajar Universiti turut dipilih sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) sejak 1 Mac lalu untuk suntikan vaksin kakitangan kesihatan UKM semasa fasa satu Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Mohd Ekhwan berkata, HCTM bekerjasama dengan KKM dan bersedia merawat pesakit dalam kalangan diplomat dan petugas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di Malaysia selain menjalankan pengujian Covid-19 mulai Mac tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 September 2021 @ 4:23 PM