KAWASAN dapur dipenuhi minyak.
KAWASAN dapur dipenuhi minyak.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

Kuala Lumpur: Meloyakan hingga rasa mahu muntah. Itu realiti dapat dilihat di beberapa restoran dan kedai makan sekitar ibu kota yang sengaja mengabaikan aspek kebersihan.

Ada antara premis diperiksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu didapati kotor pada lantai ruang makan dan dapur, sisa makanan dibuang merata-rata selain kawasan penyimpanan makanan yang menjijikkan.

Malah, ada antara premis dikesan 'membela' lipas selain penemuan najis tikus.

Senario itu dilihat ketika sepasukan anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL melakukan Operasi Penguatkuasaan Malam (OPM) Ops Mega 2022 kelmarin.

Jurucakap DBKL berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap premis makanan di sekitar Bukit Bintang, Titiwangsa, Lembah Pantai, Cheras, Kepong dan Batu di sini.

"Pemeriksaan bermula jam 8 malam hingga awal pagi disertai seramai 28 anggota Penguatkuasa Kesihatan.

"Melalui operasi itu, sebanyak 21 premis di sekitar Jalan Raja Muda Musa (Pintu Gerbang) dan Jalan Raja Abdullah, Kampung Baru diperiksa.

"Sejumlah 23 notis kompaun atas kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil dan Akta Kerajaan Tempatan dikeluarkan. Manakala sebuah kedai makan diarahkan tutup akibat terlalu kotor," katanya.

KEADAAN dapur restoran yang kotor ketika pemeriksaan dilakukan anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.
KEADAAN dapur restoran yang kotor ketika pemeriksaan dilakukan anggota Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

Menurutnya, penutupan premis dilaksanakan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 selama tempoh 14 hari atau mengikut kehendak pihak kesihatan.

"Notis terpaksa keluarkan terhadap peniaga selepas pemeriksaan mendapati pemilik kedai makan atau restoran sengaja mengabaikan aspek keselamatan makanan dan kebersihan.

"Antara kesalahan dikesan adalah pengendali makanan gagal mendapatkan suntikan typhoid selain tidak pernah menghadiri kursus asas penyediaan makanan," katanya.

Malah, menurutnya, ada juga segelintir peniaga menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Datuk Bandar.

"Selain itu ada premis yang diperiksa tidak memasang perangkap minyak atau tidak diselenggara dengan baik yang dibimbangi menjadi punca pencemaran berikutan ia dibuang terus ke longkang awam.

"Ada juga lantai dapur dan ruang makan yang kotor, berdaki hitam dan terdapat sisa makanan. Peti ais premis dan stor penyimpanan makanan berada dalam keadaan kotor dan berdaki hitam.

"Malah, ada premis yang dikesan terdapat banyak lipas dan najis tikus," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan dan lawatan mengejut itu dilaksanakan oleh DBKL dari semasa ke semasa secara berterusan bagi memastikan pengendali premis makanan mematuhi peraturan penyediaan makanan.

ANGGOTA Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis.
ANGGOTA Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL mengeluarkan kompaun terhadap pemilik premis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 Ogos 2022 @ 7:00 AM