Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Empat premis makanan termasuk sebuah restoran di Tanjung Bungah di sini, yang turut terkenal dengan hidangan mi goreng sejak 40 tahun lalu diarahkan tutup hari ini selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan premis menjijikkan.

Dalam pemeriksaan yang dilakukan pegawai penguat kuasa Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) itu mendapati keadaan lantai dapur memasak kotor manakala perkakasan lama turut tidak dibuang dengan sempurna.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Pelesenan MBPP, M Bawani berkata pemeriksaan mendapati perangkap minyak dan sisa makanan juga tidak diselenggara dengan baik menyebabkan air melimpah di lantai dapur.

Manakala dinding bahagian dapur memasak juga tidak dibersihkan dan dipenuhi dengan sisa makanan seperti percikan cili kisar.

"Najis tikus ditemukan di bahagian hadapan, ruang makan, tempat penyimpanan barang, almari penyimpanan perkakas dan dapur memasak.

"Ini adalah penutupan kali ketiga dan kita dapati premis terbabit masih tidak melakukan peningkatan kebersihan," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Empat premis makanan yang diperiksa dan kesemuanya diberi notis penutupan selama 14 hari mengikut Undang-Undang Kecil Establishment Makanan 1991.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Perlesenan MBPP menunjukkan lipas yang didapati di merata-rata lokasi termasuk di lantai restoran serta bekas penutup makanan. FOTO MIKAIL ONG
Pegawai Kesihatan Persekitaran Jabatan Perlesenan MBPP menunjukkan lipas yang didapati di merata-rata lokasi termasuk di lantai restoran serta bekas penutup makanan. FOTO MIKAIL ONG

Mengulas lanjut Bawani berkata, pemeriksaan terhadap premis makanan beralaskan daun pisang di Jalan Utama di sini mendapati tikus dan lipas berkeliaran di bahagian dapur memasak serta sekitar tandas.

Malah bau hancing dari tandas berhampiran menusuk hidung ketika berada di bahagian dapur memasak.

Premis berkenaan sudah lebih lima kali dikenakan kompaun atas pelbagai kesalahan berhubung kebersihan namun masih tidak menunjukkan perubahan.

"Manakala pemeriksaan di premis makanan ayam goreng di jalan yang sama juga menemukan puluhan lipas keluar dari tempat penyimpanan cili kisar.

"Keseluruhan pemeriksaan terhadap semua premis mendapati pemiliknya tidak melakukan kerja kawalan serangga sehingga menyebabkan urungan nyamuk, tikus dan lipas.

"Selain perangkap minyak yang tidak sempurna didapati ada pengendali makanan tidak mengambil suntikan typoid," katanya lagi.

Bawani (tengah) ketika ditemui selepas menjalankan operasi di Jalan Utama di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Bawani (tengah) ketika ditemui selepas menjalankan operasi di Jalan Utama di sini, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Ogos 2022 @ 3:05 PM