Murni Wan Omar dan Muhaamad Hafis Nawawi


Putrajaya: Permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk Ketua Hakim Negara menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya bagi kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, ditolak.

Panel lima hakim Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusannya berkata permohonan itu tiada merit dan ditolak.

Menurutnya mahkamah mendapati permohonan itu gagal menunjukkan terdapat bahaya "Permohonan itu mesti menunjukkan bahawa kenyataan oleh pihak ketiga akan menjejaskan penemuan mahkamah.

"Saya tidak nampak sebarang bahaya berat sebelah yang mencukupi untuk saya menarik diri," katanya.

Najib memfailkan notis usul meminta Tengku Maimun untuk menarik diri daripada mendengar rayuan akhirnya.

Beliau mendakwa suami Tengku Maimun iaitu individu dikenali sebagai Zamani Ibrahim ada menerbitkan hantaran di laman Facebook berhubung dirinya pada 11 Mei 2018.

Menurutnya perkembangan baharu itu membimbangkan berikutan terdapat kemungkinan Tengku Maimun dipengaruhi suaminya berhubung pertuduhan dan sabitan terhadap dirinya.

Tambah beliau lagi, berdasarkan perkara itu sebarang dapatan diperoleh oleh mahkamah ini terhadapnya dirinya akan diragui pemerhati dan tercemar dengan pandangan awam terhadap kebebasan badan kehakiman diragui.

Dalam keputusannya, Tengku Maimun berkata, selepas meneliti secara terperinci, pihaknya mendapati terdapat dua perkara yang menjadi dasar rayuan.

"Pertama, bahawa Mahkamah Rayuan melakukan kesilapan dalam fakta dan undang-undang dengan mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi mendapati dengan betul bahawa pihak pendakwaan membuat kes prima facie bagi kesemua tujuh pertuduhan.

"Kedua, bahawa Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang dengan mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi memanggil pembelaan dan berjaya menimbulkan keraguan munasabah ke atas tujuh pertuduhan.

"Responden (pendakwaan) selama dua hari penuh, membawa kami melalui keterangan dan dapatan Mahkamah Tinggi berhubung kes perayu (Najib).

"Dalam penghakiman kami, dapatan Mahkamah Tinggi mengenai pembelaan oleh perayu adalah betul.

"Dengan membuat kesimpulan bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah mengenai kes pendakwaan, kami mendapati bahawa Hakim Mahkamah Tinggi sudah menjalankan analisis menyeluruh terhadap bukti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan.

"Oleh itu, kami tidak dapat membuat kesimpulan bahawa mana-mana penemuan Hakim Mahkamah Tinggi seperti yang disahkan oleh Mahkamah Rayuan adalah songsang atau jelas salah untuk campur tangan rayuan.

"Kami bersetuju bahawa pembelaan tidak konsisten dan tidak boleh dipercayai," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 3:29 PM