SULTAN Ibrahim. FOTO Ihsan RPO
SULTAN Ibrahim. FOTO Ihsan RPO
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah bahawa baginda tidak akan tergesa-gesa dalam membuat keputusan tentang cadangan kerajaan negeri untuk menukar semula cuti hujung minggu negeri ini kepada Sabtu dan Ahad.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda tidak akan tergesa-gesa membuat keputusan berhubung cuti hujung minggu negeri ini sebaliknya akan meneliti semua faktor sebelum menitahkan keputusan.

"Saya tidak ingin gopoh dalam membuat keputusan. Cadangan kerajaan itu akan saya teliti setiap sudut baik buruknya, dan pandangan semua pihak akan diambil kira serta diperhalusi. Tidak payah kecoh-kecoh atau dipolitikkan.

"Buat masa ini saya mahu kerajaan negeri memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi Johor serta kepentingan rakyat.

"Kerajaan negeri boleh berikan apa jua cadangan kepada saya, dan saya akan mempertimbangkan sedalam-dalamnya sebelum memberikan apa-apa keputusan," titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di akaun Facebook rasmi,hari ini.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Onn Hafiz dilaporkan berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.

Pada 26 Jun lalu pula, kerajaan Johor dilaporkan masih belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan cuti hujung minggu negeri ini yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Bermula 1 Januari 2014, Sultan Ibrahim telah mengubah cuti mingguan negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu, sebagai penghormatan kepada hari Jumaat selaku penghulu segala hari dan pengiktirafan Agama Islam sebagai agama rasmi Johor.

Perubahan itu sebenarnya mengembalikan semula cuti hujung minggu asal (Jumaat-Sabtu) yang telah dilaksanakan Johor sejak sekian lama sebagai sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu.

Johor hanya melaksanakan hujung minggu Sabtu dan Ahad bermula tahun 1994 apabila ia ditukar semasa pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Besar.

Dalam pada itu, Sultan Ibrahim bertitah supaya semua pihak tidak mengeluarkan sebarang spekulasi atau membuat gesaan supaya satu keputusan diumumkan secepat mungkin.

"Saya akan buat pengumuman apabila saya berpuas hati dan cukup yakin keputusan yang diambil itu adalah yang terbaik untuk Johor," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2022 @ 10:24 AM