Onn Hafiz
Onn Hafiz
Mohamed Farid Noh


Johor Bahru: Keputusan cuti hujung minggu negeri ini sama ada kekal atau ditukar ditentukan menerusi libat urus membabitkan 576,691 pelajar dan 1.764 juta tenaga kerja di Johor.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafz Ghazi berkata, sebanyak 93 peratus tenaga kerja yang terbabit libat urus berkenaan adalah pekerja swasta.

"Saya mempengerusikan mesyuarat ketiga kerajaan Negeri yang membincangkan penyelarasan semula cuti hujung minggu bagi Johor.

"Hasil dapatan dan perbincangan ini akan disembah untuk mendapatkan pandangan dan perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar.

"Antara yang hadir pada mesyuarat ini adalah wakil sektor kerajaan, swasta, pendidikan, pemain industri termasuk perbankan dan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, satu petikan nota ringkas berhubung kononnya kerajaan Johor akan mengumumkan pertukaran cuti hujung minggunya kepada Sabtu dan Ahad yang berkuat kuasa November ini, tular di media sosial.

Pada 14 Jun lalu, kerajaan Johor dilaporkan akan mengkaji semula cuti hujung minggu Jumaat dan Sabtu di negeri ini berikutan banyak keluhan disuarakan rakyat negeri ini.

Onn Hafiz dilaporkan berkata setiap pandangan berhubung pelarasan cuti minggu di Johor diterima dengan baik dan akan diteliti.

Pada 26 Jun lalu pula, kerajaan Johor dilaporkan belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan cuti hujung minggu negeri ini yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.

Dalam pada itu, Onn Hafiz yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap berkata, antara faktor yang diteliti dan menjadi perhatian utama adalah perbezaan cuti antara ibu bapa dan anak-anak.

Katanya, ia menyebabkan mereka sukar untuk meluangkan masa bersama.

"Namun, apa jua yang diputuskan, tahap pendigitalan di negeri ini akan terus diperhebatkan.

"Negeri yang boleh beroperasi secara digital akan lebih memudahkan urusan rakyat dan ekonomi, tanpa mengira hari cuti minggu.

"Peningkatan digital ini sahaja sudah boleh menyumbang kepada kesejahteraan Bangsa Johor, tanpa perlu ke kaunter fizikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Ogos 2022 @ 6:57 PM