Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir ke mahkamah bagi sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Faris Fuad


Kuala Lumpur: Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berhadapan tuduhan pecah amanah, mengemukakan dua sebab utama kepada mahkamah supaya pihak pendakwaan menyerahkan dokumen kenyataan saksi utama kes itu kepada mereka.

Ia berikutan kenyataan yang diberikan oleh bekas Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Rafiq Hakim Razali, 32, kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu didakwa bercanggah dengan keterangan diberikan dalam mahkamah.

Peguam bela Syed Saddiq, Gobind Singh Deo, berkata, sebab pertama ialah perkara bercanggah membabitkan tempat serta masa arahan didakwa diberi oleh tertuduh yang juga bekas Ketua Armada Bersatu untuk pengeluaran wang RM1 juta.

Katanya, saksi juga menyatakan kepada pegawai penyiasat SPRM bahawa wang dalam akaun Armada adalah hasil kutipan dana orang ramai oleh Syed Saddiq sendiri untuk berkempen di Muar.

"Namun ketika dalam mahkamah, Rafiq Hakim memaklumkan dana dikutip itu untuk kegunaan Armada. Itu sudah dua perkara berlainan. Permohonan mendapatkan dokumen itu dibuat mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.

"Namun, ia tidak menetapkan supaya pihak pembelaan menyerahkannya, namun kami boleh membuat permohonan dan mahkamah mempunyai kuasa untuk membuat keputusan berhubung perkara itu.

"Dokumen itu membabitkan tertuduh dan kita mahu menegakkan keadilan. Seksyen 51 itu mempunyai skop dan kuasa besar yang tidak boleh dinafikan mahkamah. Kami mahu berhujah mengenai percanggahan itu. Namun kalau tiada dokumen itu, bagaimana mahu berbuat demikian," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berhujah di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah menolak permohonan itu kerana ia dibuat tanpa memenuhi syarat kukuh mengikut Seksyen 51 Kanun Prosedur Jenayah.

Katanya, pihak pembelaan juga tidak akan berdepan masalah untuk meneruskan prosiding dan pemeriksaan balas kes itu jika tidak mendapat dokumen kenyataan berkenaan.

"Mereka ini sekadar melengkapkan 'fishing expedition', (mendapatkan maklumat lain), pada awalnya nak dokumen kenyataan itu pergi ke 'pintu a, b lepas itu pintu c pun tak dapat'.

"Kami berhujah dengan pendirian dokumen itu tidak mengubah proses prosiding dan ia kekal sebagai dokumen 'privilege' (istimewa)," katanya.

Pesuruhjaya Kehakiman menetapkan keputusan permohonan itu dibuat esok, selepas memaklumkan memerlukan masa untuk meneliti hujahan kedua-dua pihak.

Pada 25 Julai lalu, pihak pendakwaan diarah menyerahkan salinan percakapan Rafiq Hakim, kepada mahkamah.

Azhar dilaporkan membuat keputusan itu selepas bersetuju pihak pembelaan berjaya membuktikan terdapat perbezaan dalam keterangan lisan yang turut diakui oleh pendakwaan, berbanding dengan percakapan yang diberikan di bawah Akta 30 SPRM.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram, iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya, yang didakwa hasil aktiviti haram.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Ogos 2022 @ 5:04 PM