Farah Marshita Abdul Patah


Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini diberitahu bahawa pengeluaran RM1 juta daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) tidak diketahui oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Saksi ke-20 pendakwaan Muhammad Zulhelmi Zaulkafly, 30, berkata, sebagai Pegawai Kewangan I Bersatu, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Armada berhubung pengeluaran itu

Katanya, pihaknya juga tidak menerima sebarang makluman daripada Armada mengenai pengeluaran wang berkenaan kepada Pejabat Bendahari Bersatu.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Shahrom Idris sama ada perbelanjaan melebihi RM500,000 perlu mendapat kelulusan majlis pimpinan tertinggi parti, Muhammad Zulhelmi, menjawab: "Ya, mengikut Fasal 24 Perlembagaan Parti Bersatu.

Mohd Shahrom: Jika ada sesuatu pengeluaran wang, adakah ia perlu direkodkan?

Muhammad Zulhelmi: Perlu

Mohd Shahrom: Apa akan terjadi jika ia tidak direkodkan?

Muhammad Zulhelmi: Melanggar peraturan 24, di mana kita nak mengelakkan berlaku ketirisan kewangan.

Muhammad Zulhemi turut memberitahu mahkamah bahawa pengeluaran RM1 juta dalam kes itu adalah melanggar Fasal Perlembagaan.

Sementara itu, di awal prosiding perbicaraan, Syed Saddiq gagal untuk mencabar kredibiliti saksi utama dalam kes pecah amanah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Ia selepas Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid memutuskan bahawa

pernyataan saksi bekas Penolong Bendahari Armada, Rafiq Hakim Razali, 32, tidak boleh digunakan sebagai asas untuk mencabar kredibiliti saksi utama pendakwaan itu.

Katanya, pernyataan saksi Rafiq Hakim tidak memenuhi definisi dan dimasukkan ke dalam mahkamah mengikut Seksyen 402(B) Kanun Acara Jenayah.

"Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa pernyataan saksi itu tidak boleh digunakan sebagai asas mencabar kredibiliti saksi," katanya.

Mendengar keputusan itu, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq kemudian mengemukakan permohonan baharu untuk mendapatkan kenyataan Rafiq Hakim yang direkodkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2020 ketika siasatannya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan lisan itu kerana tiada keperluan untuk mencabar kredibiliti saksi berkenaan pada peringkat ini.

Pendakwaan berhujah bahawa Rafiq Hakim sudah mengaku ketika memberi keterangan bahawa terdapat sedikit percanggahan keterangannya di mahkamah dengan pernyataan saksi.

"Oleh itu, tiada keperluan untuk menggunakan pernyataan yang direkodkan oleh SPRM untuk mencabar kredibiliti saksi.

"Permohonan pihak pembelaan seolah-olah 'fishing expedition'. Tambahan pula, pernyataan yang direkodkan oleh SPRM adalah suatu document istimewa," katanya.

Mahkamah kemudian menetapkan Jumaat ini bagi mendengar hujah pendakwaan dan pembelaan serta membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Perbicaraan bersambung esok.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 3:36 PM
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar dari mahkamah selepas menghadiri sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman keluar dari mahkamah selepas menghadiri sambung bicara kes pecah amanah, menyalahgunakan harta dan pengubahahan wang haram di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM