MOHD Zuki (tengah) bergambar bersama peserta ketika majlis penutup program Simposium Keluarga Malaysia ‘Pencapaian dan Harapan’. FOTO Bernama
MOHD Zuki (tengah) bergambar bersama peserta ketika majlis penutup program Simposium Keluarga Malaysia ‘Pencapaian dan Harapan’. FOTO Bernama
Irwan Shafrizan Ismail


Putrajaya: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri dijangka membuat penilaian prestasi anggota Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, sebelum ini Perdana Menteri juga sudah mengarahkan supaya pemantauan pencapaian mereka berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) diteruskan bagi tempoh enam bulan bermula Januari hingga 30 Jun lalu.

"Pada pelaksanaan KPI kali ini, fokus diberikan kepada inisiatif yang bersifat keberhasilan yang terus kepada rakyat.

"Maknanya bukan sekadar program kajian, semakan, pembangunan semata-mata, tetapi program yang bersifat human touch seperti pemberian bantuan langsung ke tangan rakyat supaya ada makanan yang dapat disediakan kepada keluarga masing-masing.

"Bagi penilaian prestasi ahli Jemaah Menteri, Perdana Menteri akan membuat penilaiannya dalam masa terdekat," katanya berucap pada penutup Simposium Keluarga Malaysia : Pencapaian dan Harapan di sini hari ini.

Selain itu beliau berkata, agenda Keluarga Malaysia dicetuskan Perdana Menteri amat bertepatan dengan keinginan rakyat dan negara.

Beliau yang berkhidmat di bawah tiga Perdana Menteri sejak tiga tahun lalu, memaklumkan rakyat amat dahagakan sebuah aspirasi yang memberi fokus dan perhatian yang mendalam kepada suara dan nasib mereka.

"Sebab itulah sebaik dilantik sebagai Perdana Menteri setahun yang lalu, beliau telah memberi arahan agar sebuah mekanisme pemantauan pencapaian berdasarkan KPI diwujudkan.

"Kemudiannya, KPI 100 hari anggota Jemaah Menteri telah dilaksanakan membabitkan pencapaian kesemua 31 menteri dalam tempoh dari 1 Ogos hingga 9 Disember 2021.

"KPI ini diukur berdasarkan Perkhidmatan Teras sebanyak 50 peratus, Penilaian Prestasi Menteri sebanyak 25 peratus, dan Persepsi Awam sebanyak 25 peratus, dengan skor keseluruhan melebihi 90 peratus.

"Kesemua anggota Jemaah Menteri telah pun menepati 140 sasaran awal yang ditetapkan menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan program," katanya.

Beliau berkata, tanpa mahu bersifat syok sendiri, pengukuran ini turut dibuat membabitkan 190,914 ahli Keluarga Malaysia yang memberi penilaian dalam tinjauan soal selidik yang dibuat oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).

"Antara impak yang boleh dilihat ialah menerusi pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang menyaksikan peningkatan kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta pengurangan kadar pengangguran kepada 4.3 peratus pada Oktober 2021 berbanding 5.3 peratus pada Mei 2020," katanya.

"Begitu juga dengan perkembangan positif pelaburan langsung (FDI) sebanyak RM12.8 billion, peningkatan nilai eksport agrikomoditi dengan nilai RM147.2 bilion, serta pelaksanaan pelbagai program bantuan seperti Dana PKS, Industri Kreatif dan Digital, Program Subsidi Upah, Bantuan Keluarga Malaysia, projek naik taraf dan pembangunan sekolah daif," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 6:38 PM