GAMBAR hiasan. Buffet Ramadhan.
GAMBAR hiasan. Buffet Ramadhan.
Mahaizura Abd Malik dan Noor Hidayah Tanzizi


Kuala Lumpur: Perkhidmatan bufet Ramadan tidak termasuk di bawah harga kawalan kerana ia adalah caj disediakan oleh pihak hotel atau restoran tertentu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata, pengguna mempunyai pilihan untuk memilih perkhidmatan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka.

Bagaimanapun katanya, beberapa tindakan boleh diambil bagi mengawal harga tidak berpatutan atau mengambil keuntungan tidak munasabah.

"KPDN menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 bagi mengawal pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) oleh peniaga selain Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (penandaan harga bagi barangan dan caj bagi perkhidmatan) 2022 untuk memastikan peniaga meletakkan tanda harga.

"Selain melaksanakan Ops Menu melalui pemeriksaan secara harian di premis makanan, Ops Samar melalui penyamaran yang dilakukan anggota penguat kuasa dan melakukan siasatan aduan susulan aduan diterima," katanya dalam satu kenyataan kepada Harian Metro.

Katanya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, pihaknya akan mengeluarkan notis mengikut Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 ke atas pihak yang didapati menaikkan harga mendadak dan ketara.

"Daripada notis yang sudah dikeluarkan, KPDN akan melakukan analisis berdasarkan maklumat diperolehi sama ada berlaku aktiviti pengambilan keuntungan secara tidak munasabah (mencatut) ke atas penentuan harga jualan berkenaan.

"Jika berlaku aktiviti mencatut, tindakan tegas akan dilaksanakan ke atas pihak berkaitan," katanya.

Menurutnya, pengguna perlu bijak berbelanja dan menggunakan sepenuhnya hak sebagai pengguna agar tidak mudah dimanipulasi oleh segelintir pihak tidak bertanggungjawab dan melaporkan sebarang maklumat berhubung salah laku kepada pihaknya.

"Pendekatan pelaksanaan penguatkuasaan secara berhemah masih dipraktikkan dengan memberi pendidikan, nasihat dan amaran supaya peniaga mematuhi undang-undang dan mengamalkan etika peniagaan yang baik," katanya.

Dalam pada itu, katanya, 2,300 pegawai dan anggota penguat kuasa KPDN digerakkan bagi pemantauan harga di seluruh negara, Ramadan ini.

kenyataan itu berkata, pemantauan itu akan dilakukan di semua premis makanan termasuk hotel yangmenyediakan bufet Ramadan di bandar mahupun luar bandar.

"KPDN akan memantau semua barangan yang dijual di premis perniagaan pada Ramadan ini, termasuk barangan mentah dan sedia masak.

"Selain itu, KPDN melaksanakan penentuan harga ayam dan telur ayam yang sudah berkuatkuasa mulai 5 Februari lalu sehingga kini," katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan, setiap kali tiba Ramadan, tawaran hidangan bufet dengan menu istimewa, menambat selera berbuka puasa sama ada di hotel atau restoran akan muncul di pelbagai platform termasuk media sosial.

Melihat kepada cabaran ekonomi semasa, harga bufet Ramadan ditawarkan bukan murah kerana kebanyakannya mencecah ratusan ringgit meskipun masih ada di bawah RM100, namun tetap menjadi pilihan rakyat Malaysia.

Berita berkaitan:

Bufet: Antara bajet dan selera

'Saya makan bufet Ramadan sebagai cara menghargai diri'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2023 @ 12:30 PM