Syaherah Mustafa


Pasir Mas: Diuji dengan masalah rabun, seorang pelajar albino membuktikan kemampuan diri apabila memperoleh keputusan purata nilai gred keseluruhan (PNGK) 3.92 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 yang diumumkan, hari ini.

Niki Amirul Zimi, 20, berkata kekurangan diri bukan penghalang untuk berada sebaris dengan rakan-rakan normal yang lain sebagai pelajar cemerlang.

Katanya, dia sentiasa berfikiran positif dan belajar dengan bersungguh-sungguh demi memastikan setiap ilmu dapat diterima dapat digunakan dengan sebaiknya.

"Saya berhadapan cabaran untuk belajar kerana mengalami masalah rabun yang mana mengambil masa agak lama untuk menghabiskan sukatan pelajaran berbanding rakan seperjuangan lain.

"Alhamdulillah, guru dan rakan-rakan banyak membantu, malah saya tidak pernah disisih malah dilayan dengan baik seperti pelajar lain. Selain itu, saya akan memastikan diri tidak tertekan dan belajar dengan tenang sekadar termampu.

"Di dalam kelas, saya akan duduk paling hadapan agar dapat melihat dan mendengar dengan lebih jelas," katanya ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, di sini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, kejayaan dirinya adalah hadiah buat bapanya, Zimi Mamat, 60, dan ibu, Suemah Dollah, 46, yang banyak memberi sokongan serta dorongan.

"Alhamdulillah, saya dapat membuktikan kekurangan diri tidak sesekali menjadi penghalang buat insan seperti saya untuk turut berjaya.

"Kejayaan hari ini adalah permulaan agar saya terus berusaha pada masa akan datang terutama jika bergelar penuntut di menara gading. Semoga impian untuk menjadi pendidik tercapai suatu hari nanti," katanya yang berasal dari Kampung Jeram Perdah, di sini.

Katanya, dia turut aktif dalam aktiviti kokurikulum di sekolah sebagai inisiatif untuk membina keyakinan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Ogos 2022 @ 4:37 PM
Niki Amirul Zimi, 20 gembira menunjukkan keputusan terbaik yang diperolehinya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), hari ini ketika ditemui selepas mengambil keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Niki Amirul Zimi, 20 gembira menunjukkan keputusan terbaik yang diperolehinya dalam Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), hari ini ketika ditemui selepas mengambil keputusan STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR