Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Statusnya sebagai orang kurang upaya (OKU) ketidakupayaan fizikal tidak menghalang Nurulain Natasya Marzuki mencipta kecemerlangan dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan hari ini.

Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa itu meraih Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.42.

Nurulain Natasya, 20, yang kudung tangan kanan sehingga paras siku sejak lahir membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuknya berada sebaris dengan rakan-rakan normal yang lain sebagai pelajar cemerlang.

"Saya sentiasa berfikiran positif dan belajar dengan bersungguh-sungguh demi memastikan setiap ilmu dapat diterima dapat digunakan dengan sebaiknya dan pada masa sama rakan-rakan juga tidak lokek berkongsi ilmu.

"Alhamdulillah, guru dan rakan-rakan banyak membantu, malah saya tidak pernah disisih malah dilayan dengan baik seperti pelajar lain.

"Selain itu, saya akan memastikan diri tidak tertekan dan belajar dengan tenang sekadar termampu," katanya ketika ditemui selepas majlis Pengumuman Keputusan STPM di SMK Pengkalan Chepa di sini, hari ini.

Menurutnya, di sebalik kejayaan yang dicapai itu adalah sokongan dan semangat diberikan ibu, Rorida Deraman, 49, dan ayah, Marzuki Salleh, 54, yang mahu melihatnya berjaya sehingga ke menara gading serta mencapai cita-cita yang diimpikan.

"Ibu dan ayah hanya berniaga nasi berlauk untuk membesarkan kami adik-beradik dan kejayaan saya pada hari ini untuk mereka," katanya

Menceritakan keputusan cemerlang yang diperoleh, anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, dia tidak mempunyai rahsia sebaliknya setiap pagi dia akan menunaikan solat Tahajud, Dhuha dan hajat.

"Bagi mengulangkaji pelajaran pula, saya akan mentelaah pelajaran bermula 8 malam sehingga 1 pagi memandangkan pada waktu petang perlu menjalani latihan di Kompleks Sukan Panji," katanya yang pernah mewakili Kelantan dalam sukan olahraga di Temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) dan memperoleh emas dalam larian 200 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Julai 2023 @ 4:48 PM
Nurulain ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nurulain ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Chepa. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR