LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Polis masih menjalankan siasatan susulan operasi pemutihan besar-besaran membabitkan penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki menjadi tali barut sindiket dadah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, siasatan masih dijalankan selepas penahanan pegawai dan anggota polis.

"Siasatan masih dijalankan dan kita tunggulah nanti.

"Tiba masanya saya akan beri kenyataan," katanya ringkas kepada Harian Metro.

Terdahulu, menerusi muka depan Harian Metro sebelum ini mendedahkan operasi pemutihan besar-besaran membabitkan penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki menjadi tali barut sindiket dadah.

Tindakan dilakukan pasukan tindakan khas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman selain Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman bertujuan menjaga integriti serta membersihkan nama Polis Diraja Malaysia (PDRM) daripada anasir tidak sihat.

Sumber Bukit Aman berkata, operasi terbaru itu tidak hanya membabitkan anggota polis pangkat rendah malah turut membabitkan penahanan sekurang-kurangnya enam pegawai kanan polis.

"Antara ditahan ialah pegawai kanan berpangkat Superintendan, Asisten Superintendan (ASP) dan Deputi Superintendan (DSP) yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) serta Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri.

"Malah penahanan turut membabitkan seorang bekas ketua JSJN negeri. Operasi khas ini memfokuskan anggota dan pegawai kanan polis yang disyaki mempunyai 'pertalian' dengan sindiket dadah tempatan sebelum ini.

"Operasi tertumpu di beberapa Ibu Pejabat Polis di Lembah Klang, Utara dan Pantai Timur tanah air sejak awal minggu ini," katanya.

Menurutnya, tindakan diambil mengikut Seksyen 6(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK).

Berita berkaitan

'Superintendan, ASP, DSP tak terkecuali'

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 11:35 AM