Razarudin Husain (kanan) bercakap pada sidang media. FOTO BERNAMA
Razarudin Husain (kanan) bercakap pada sidang media. FOTO BERNAMA
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Mereka bukanlah pembawa gelaran 'Datuk' sebenar ! Ia hanyalah panggilan diberikan kenalan berkemungkinan kerana mereka hidup mewah," ujar Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Razarudin Husain berhubung identiti dua individu ditangkap polis kerana dikaitkan dengan kes dadah minggu lalu.

Beliau menafikan dua lelaki ditahan polis itu adalah penerima darjah kebesaran sebaliknya sekadar gelaran tidak diiktiraf yang sengaja digunakan pakai untuk tujuan tertentu.

Harian Metro semalam mendedahkan penahanan dua individu bergelar [Datuk' yang dikesan aktif dalam sindiket penyeludupan dadah dari negara jiran Thailand.

Suspek yang diberkas di Kuantan, Pahang, oleh anggota polis Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu dipercayai berperanan sebagai pembekal dadah ke kawasan tanah rancangan Felda di Pahang.

"Operasi mengesan penyeludup dan pembekal dadah termasuk tokan masih terus dipergiatkan. Setakat ini masih ramai individu berada di dalam radar polis dan usaha memerangi dadah akan dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara.

"Buat masa ini polis sudah mengenal pasti sindiket berasal dari Kuala Lumpur dan Selangor yang aktif membekalkan dadah ke kawasan tanah rancangan Felda," katanya ketika dihubungi Harian Metro tadi.

Razarudin berkata, usaha menyekat bekalan dadah memasuki kawasan pedalaman, Felda dan negara ini terus dipergiatkan.

"Operasi sedang diatur gerak di seluruh negara. Bukan hanya penyeludup dan dalang sindiket dadah malah tokan kecil-kecilan yang mengedarkan dadah turut akan dibenteras polis. Ini antara tekad JSJN dalam memastikan gejala dadah ini dapat dibendung," katanya.

Difahamkan polis turut melakukan siasatan kemungkinan wujud pembabitan pegawai atau kakitangan agensi keselamatan yang disyaki ada kaitan dengan suspek diberkas itu.

Sebelum ini JSJN Pahang berjaya memberkas 140 penagih dan pengedar dadah hasil operasi Op Sarang Khas tertumpu di beberapa Felda di daerah Rompin, Pahang.

Operasi bermula 11 Oktober sehingga 16 Oktober lalu, membabitkan Felda Tun Razak, Felda Selancar, Felda Chanis dan beberapa kawasan Felda di Muadzam Shah serta Kuala Rompin.

Dalam operasi berasingan, polis turut membongkar aktiviti penyalahgunaan dadah di ladang kelapa sawit Felda Mempaga di Bentong, Pahang susulan penahanan 24 individu termasuk seorang tokan dadah selain merampas 8.95 gram dadah heroin dan 0.38 gram dadah syabu bernilai RM500.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Oktober 2021 @ 5:57 PM