Noor Rashid memeriksa kawalan kehormat kadet polis ketika majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017. FOTO Abdullah Yusof
Noor Rashid memeriksa kawalan kehormat kadet polis ketika majlis penutupan Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017. FOTO Abdullah Yusof
Farah Suhaidah Othman


POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan membuat rombakan dalam Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan penahanan 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang dipercayai melindungi sindiket dadah.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata, polis tidak berkompromi dengan mana-mana pegawai kanan dan anggota jabatan itu yang melindungi atau bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Katanya, pihaknya turut melancarkan operasi mengesan pegawai dan anggota polis yang turut terbabit melindungi sindiket berkenaan.

"Mereka ini dipercayai ada hubungan dengan pengedar dadah serta membocorkan maklumat dan operasi polis.

"Kita pandang serius sekiranya ada pembabitan pegawai dan anggota polis yang melindungi atau berkawan baik dengan mana-mana sindiket dadah. Tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) akan diambil," katanya selepas merasmikan penutup Perkhemahan Kor Kadet Polis Peringkat Kebangsaan 2017 di Kem Briged Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Ipoh, hari ini.

Noor Rashid berkata, setakat ini seramai 16 pegawai kanan dan anggota jabatan itu ditahan dan disiasat mengikut SOSMA.

"Mereka ditahan mengikut SOSMA selama 28 hari kerana dipercayai bersekongkol dengan sindiket itu.

“Setakat ini kita kenal pasti pegawai kanan dan anggota dan perkara ini masih dalam siasatan untuk mengesan serta membuat tangkapan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Mei 2017 @ 12:55 PM