WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam kerana mencemar agama. FOTO tular
WANITA yang tular di media sosial kerana mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram dikecam kerana mencemar agama. FOTO tular
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Tiada kelibat seorang pengkid dikenali sebagai 'Mohd Syahid' atau 'Ayid' di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Individu itu yang tular mengerjakan umrah memakai ihram di Tanah Suci, baru-baru ini, dijadualkan tiba di Malaysia dengan penerbangan Saudi Airlines dari Jeddah pada jam 4.11 petang ini.

Harian Metro yang menunggu di hadapan Balai Ketibaan Antarabangsa mendapati beberapa penumpang penerbangan itu mulai keluar pada jam 4.30 petang, namun kelibat individu itu tidak kelihatan.

Ketiadaannya itu seakan mengesahkan khabar angin yang mendakwa dia sudah pulang lebih awal dengan transit di negara jiran sebelum menaiki penerbangan ke Malaysia.

Pada Ahad lalu, Harian Metro melaporkan, berbekalkan janji manis serta perlakuan romantis, Ayid menjerat beberapa wanita kononnya akan diperisterikan menyebabkan ada dalam kalangan mangsanya itu turut membeli pelbagai barangan untuk persediaan perkahwinan.

Bagaimanapun, tembelang 'lelaki jadian' itu terbongkar selepas rakaman video dia memakai ihram ketika menunaikan umrah di Tanah Suci Makkah dimuat naik oleh seorang daripada mangsa penipuannya di media sosial tular.

Susulan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Tuan Kamarul Arief Tuan Soh dilaporkan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengkid itu.

Bukan itu saja, Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut dilaporkan berkata, tindakan sewajarnya perlu dikenakan ke atas individu berkenaan bagi mengelak lebih banyak kes seumpamanya berlaku.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad memberi maklum balas bahawa beliau mengambil berat isu itu kerana membabitkan hukum agama dan tindakan tegas perlu dikenakan kepada individu terbabit.

Beliau berkata, pihaknya sudah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan memohon untuk membuat siasatan lanjut ke atas individu berkenaan setibanya di tanah air nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 6:29 PM