Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Persatuan Pengendali Umrah, Haji dan Ziarah Negeri Perak (PUHAZ) mengesahkan 'pengkid' yang memakai ihram semasa menunaikan umrah di Tanah Suci yang tular baru-baru ini bukan diuruskan melalui 35 khidmat agensi umrah yang bernaung di bawahnya.

Presidennya, Mohd Ali Sabri Abd Rahman berkata, maklumat awal mendapati wanita yang didakwa mengerjakan umrah dengan berpakaian ihram lengkap seperti lelaki itu pergi secara DIY (diurus sendiri) bersama rakannya.

"Kita di pihak PUHAZ menyokong apa sahaja tindakan undang-undang yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri (Agama) dan JAKIM berhubung isu (pengkid pakai ihram) ini.

"Kita memang menyokong sepenuhnya apa yang dilakukan oleh pihak berwajib bagi mengekang perkara yang tidak baik," katanya pada satu sidang media khas berhubung isu penerbangan jemaah umrah tertangguh di sini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Agung PUHAZ, Abdul Jabbar Abdul Kahar.

Mohd Ali Sabri berkata, daripada sudut hukum fekah umrah yang dikerjakan oleh individu wanita berpakaian menyerupai lelaki itu adalah tidak sah.

"Tidak sah umrah jika berpakaian demikian kerana dia (pengkid) perempuan tetapi berpakaian menyerupai lelaki.

"Hukum daripada sudut pemakaian, orang perempuan memakai pakaian lelaki adalah haram apatah lagi di tanah suci. Jadi, dalam perkara ini jika dilihat dari segi hukum hakamnya dia sudah menghina agama," katanya.

Beliau berkata, justeru pihaknya menasihati kepada mana-mana jemaah untuk pergi mengerjakan umrah dengan travel agensi agar ada pemantauan dari sudut hukum.

"Tidak salah umrah secara DIY tetapi kena memahami hukum hakam, kita pihak PUHAZ memang menjaga jemaah dari segi bimbingan hukum dan bagaimana mereka menyelesaikan masalah dalam tempoh sepanjang mengerjakan umrah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2022 @ 6:10 PM
MOHD Ali Sabri Abd Rahman ketika sidang media berkaitan isu kesukaran penerbangan Umrah Musim 1444H di Ipoh. FOTO L MANIMARAN
MOHD Ali Sabri Abd Rahman ketika sidang media berkaitan isu kesukaran penerbangan Umrah Musim 1444H di Ipoh. FOTO L MANIMARAN