Zaid Salim

Setiu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu mengenal pasti 192 lokasi 'titik panas' banjir di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Md Hilman Abd Rashid berkata, semua lokasi berkenaan dikenal pasti berdasarkan kawasan yang dilanda banjir tahun lalu.

"Kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga sama ada dari sudut kekuatan anggota dan juga kemampuan aset yang mencukupi untuk melakukan kerja penyelamatan.

"Anggota kita juga sudah melakukan rondaan dan pemantauan secara berkala di 192 hotspot (titik panas) berkenaan," katanya pada sidang media sempena Majlis Penutupan Kursus Pemantapan Pasukan Khas JBPM Terengganu bersama Kementerian Kesihatan (KKM) di sini, hari ini.

Mengenai kekuatan aset bagi menghadapi bencana banjir tahun ini, beliau berkata, JBPM Terengganu kini memiliki 50 bot dan ia mencukupi untuk kerja penyelamatan.

Dalam pada itu katanya, bagi memastikan tugas penyelamatan ketika banjir lancar, hanya 10 peratus daripada 800 anggota dibenarkan bercuti.

"Bagaimanapun mereka akan dipanggil bertugas sekiranya perlu," katanya.

MD Hilman (dua kanan) memantau paras air di kawasan air terjun Hutan Lipur Lata Changkah. FOTO Ghazali Kori
MD Hilman (dua kanan) memantau paras air di kawasan air terjun Hutan Lipur Lata Changkah. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Oktober 2022 @ 7:33 PM