Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Pengerusi Umno Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berharap isu kapal tempur pesisir (LCS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tidak diheret berpanjangan sehingga musim Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana dilihat akan mempengaruhi kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak berkata, berdasarkan kenyataan dibuat beberapa individu berwibawa, dapat dilihat kecenderungan bahawa Umno tidak terbabit dengan isu berkenaan.

"Saya tengok kepada kecenderungan kenyataan orang-orang berwibawa (dalam isu) itu menunjukkan bahawa Umno tidak terbabit, malahan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) dan Kabinet sudah membuat keputusan untuk bersifat 'transparent' (telus).

"(Iaitu) dengan membiarkan laporan (laporan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan Dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk dibuka (disiarkan kepada umum)," katanya kepada pemberita pada program Hari Bertemu Pelanggan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, petang tadi.

SAARANI ketika program Hari Bertemu Pelanggan Adun Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, petang tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SAARANI ketika program Hari Bertemu Pelanggan Adun Kota Tampan di Dataran Tasik Raban, di sini, petang tadi. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Saarani berkata demikian sebagai mengulas laporan media yang memetik penganalisis politik sebagai menyifatkan isu skandal LCS turut berisiko 'menghukum' Barisan Nasional (BN) termasuk seluruh pemimpin Umno yang berimej bersih khususnya dalam menghadapi PRU-15 kelak.

Beliau berkata, sudah tentu isu itu dapat dijadikan sebagai 'peluru' politik dan untuk berlaku adil, isu itu diharapkan tidak diheret berpanjangan sehingga PRU-15 kelak.

"Untuk berlaku adil kepada Umno, janganlah mengheret isu ini berpanjangan sehingga pilihan raya. Kadang-kadang orang ramai menghukum Umno (dalam) semua benda walaupun akhirnya didapati Umno tidak bersalah.

"Jadi mengapa pula hendak diheret (Umno)? Kena berlaku adil kalau hendak menghukum, jangan hukum Umno (sebaliknya) kena hukum orang yang buat salah itulah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, tiada keperluan untuk pihak bertanggungjawab terhadap skandal bersifat kegagalan itu meminta maaf kepada kerajaan negeri sebagai mana saranan segelintir pihak, memandangkan perkara itu di bawah ehwal kerajaan pusat yang tiada kaitan dengan kerajaan negeri.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenangnya campur tangan dalam isu berkenaan yang dilihat akan mengeruhkan lagi keadaan.

"Jangan campur tangan, jangan campur aduk dan jangan 'tambah garam' atau 'mencurah cuka' ke dalam luka (mengenai LCS).

"Sebab pada saya beberapa pandangan yang sudah diberikan oleh mereka yang berwibawa termasuk bekas Panglima armada, semua itu kenyataan rasmi. Jadi saya tidak mahu terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 9:10 PM