Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Projek rintis perlombongan nadir 'lantanid' di Mukim Kenering, Hulu Perak sudah boleh dimulakan bila-bila masa susulan ketetapan mengenainya sudah dibincang dan diluluskan di peringkat Mesyuarat Exco kerajaan negeri, minggu lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata langkah seterusnya adalah membabitkan perbincangan antara Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Menteri Besar Incorporated (MB Inc) selaku pemegang pajakan melombong serta syarikat perlombongan berkenaan.

"Minggu lepas kita (mesyuarat Exco) luluskan dan minggu ini kita akan luluskan minit mesyuarat itu pula. Daripada minit itu barulah tindakan berikutnya boleh diambil oleh PTG dan MB Inc.

"Di peringkat kita (kerajaan negeri) hanya luluskan berkaitan dasar saja dan PTG akan berbincang perkara-perkara yang berikutan dengannya bersama MB Inc. serta syarikat terbabit.

"Sudah tiada masalah, ia (perlombongan) boleh dibuat sekarang," katanya kepada pemberita sewaktu sidang media Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) peringkat Perak di Dataran Tasik Raban, di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Pengarah JPS negeri, Ir Vasukey Palany Kumar.

SAARANI ketika Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 JPS peringkat Perak di Dataran Tasik Raban. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SAARANI ketika Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 JPS peringkat Perak di Dataran Tasik Raban. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Pada 13 September lalu, Saarani dilapor berkata, Mesyuarat Exco kerajaan negeri pada minggu berikutnya akan membincangkan kadar royalti dan beberapa ketetapan lain daripada projek rintis perlombongan nadir bumi 'lantanid' terbabit.

Katanya, kelulusan projek berkenaan bagaimanapun tidak membabitkan perbincangan mengenai kadar royalti memandangkan ia hanya akan diputuskan menerusi perbincangan antara PTG, MB Inc. dan syarikat perlombongan terbabit.

"Ini di peringkat PTG lah. Minggu lepas Exco baru lulus, dan seperti biasa hasil mesyuarat itu akan menghantar minit mengenainya kepada PTG sebelum PTG yang akan menguruskan apa yang berlaku selepas dari itu," katanya.

"Peringkat Exco, kita hanya meluluskan lesen (perlombongan) itu dan bersetuju dengan projek rintis itu, jadi selepas ini PTG akan dapat surat dari Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Perak dan PTG akan maklumkan kepada MB Inc. termasuk syarikat berkaitan.

"Mereka kena duduk semeja membincangkan perkara yang seterusnya, sebab ia adalah prokek rintis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 1:35 PM