Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Taiping: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad membidas kritikan segelintir pihak yang mempertikai kedatangannya sebagai tetamu terhormat dalam majlis bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) pembangkang.

Saarani berkata, amalan politik matang perlu diterapkan dalam pentadbiran kerajaan negeri demi menjaga kebajikan rakyat termasuk di kawasan pembangkang atas dasar dan prinsip keadilan kepada semua.

"Saya sebut sekali lagi, bahawa sesiapa saja yang menjadi Menteri Besar (MB), dia adalah MB kepada seluruh rakyat dan penting bagi kita untuk berlaku adil.

"Ini bukan soal politik. (Tambahan pula) jemputan untuk hadir ke majlis sedemikian atas kedudukan saya sebagai MB dan yang menjemput selaku Adun, bukan atas nama jemputan selaku ahli atau pemimpin parti tertentu.

"Jadi jangan salah faham atau salah membuat tafsiran mengenai perkara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Arena Sukan Aulong dekat sini, hari ini.

Saarani berkata demikian mengulas mengenai kehadirannya di program dan sepentas dengan Adun Aulong yang juga Pengerusi Dap Perak, Nga Kor Ming.

Tindakan itu kemudiannya dipertikaikan oleh Ketua Pemuda MCA Perak, Daniel Wa Wai How.

Dalam kenyataannya, Wai How berkata, perkara itu dilihat sebagai tidak menjaga perasaan dan hubungan parti komponen dalam Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC.

Saarani berkata, terdapat juga kehadiran wakil dari MCA dan MIC dalam program yang dihadirinya bersama Kor Ming terbabit.

Beliau yang juga Pengerusi Umno serta BN Perak berkata, sudah sampai masanya budaya politik matang diterapkan terutamanya apabila dasar Undi 18 iaitu pendaftaran automatik untuk pengundi berusia 18 tahun bermula tahun ini.

"Kita kena latih golongan Undi 18 ini untuk jangkamasa panjang, jadi kita kena tonjolkan budaya politik matang supaya mereka faham bahawa tidak boleh undi mengikut 'trending' (aliran semasa).

"Kita tahu ramai sudah 'letih' melihat percakaran politik. Kita juga yakin rakyat Malaysia sudah cerdik pandai menilai bentuk kerajaan mana yang mereka inginkan dan kita tidak boleh memaksa mereka untuk undi kita," katanya.

Katanya, peruntukan sama banyak kepada semua 59 Adun di Perak menerusi Belanjawan 2021 tahun lalu sudah mampu mencerminkan budaya politik matang yang diamalkan di negeri ini.

"Harus diingat bahawa rakyat kawasan pembangkang juga perlukan pembangunan. Apabila kerajaan terdahulu tidak beri peruntukan kepada pembangkang, rakyat kawasan itu tidak dapat manfaatnya.

"Sebelum ini saya pun pernah jadi pembangkang dan dari situ kita belajar bahawa siapa juga yang menjadi kerajaan dia perlu buat kebajikan kepada seluruh rakyat Perak dan itulah yang sedang kita buat," katanya.

SAARANI bersama Kor Ming pada Majlis Perasmian Arena Sukan Aulong di Aulong, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SAARANI bersama Kor Ming pada Majlis Perasmian Arena Sukan Aulong di Aulong, di sini, hari ini. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 January 2022 @ 8:47 PM