Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Lenggong: Sebanyak 76 kawasan dikenal pasti Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sebagai titik panas atau 'hotspot' banjir di Perak susulan musim peralihan Monsun Timur Laut yang dijangka melanda bermula pertengahan November depan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata susulan itu kerajaan negeri mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan kerja mengorek pulih sungai, mendalamkan sungai, dan menyelenggara kolam takungan bagi menghadapi musim tengkujuh ini.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat 33 lokasi stesen siren amaran banjir sedia ada sekitar Perak di bawah selenggaraan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan 27 stesen siren baharu yang masih dalam proses pemasangan dan dijangka siap pada November 2023.

Katanya, terdapat 43 lokasi rumah pam banjir serata negeri ini, dengan JPS sedang menyelenggara sejumlah 336 kolam tadahan banjir dengan keluasan keseluruhan 490 hektar bagi mengurangkan risiko banjir.

"Secara keseluruhan di negeri Perak, sebanyak 33 sistem amaran siren dipasang dan bilangan ini akan ditambah dalam Projek Ramalan Amaran Banjir Negara di bawah seliaan JPS yang dijangka siap pada tahun 2025.

"Siren ini akan berbunyi sebanyak dua kali sebagai tanda amaran. Siren yang pertama akan berbunyi apabila aras air di peringkat berjaga-jaga dan siren kedua akan berbunyi apabila aras air berada di peringkat bahaya," katanya kepada pemberita dalam Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 JPS peringkat Perak di Dataran Tasik Raban, di sini, hari ini.

SAARANI ketika Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 JPS peringkat Perak di Dataran Tasik Raban. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
SAARANI ketika Majlis Perasmian Hari Sungai Sedunia, Jelajah Denai, dan Sambutan Ulang Tahun ke-90 JPS peringkat Perak di Dataran Tasik Raban. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air, dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun dan Timbalan Pengarah JPS negeri, Ir Vasukey Palany Kumar.

Dalam pada itu, Saarani berkata, negeri Perak mempunyai 800 batang sungai membabitkan panjang keseluruhan 9,000 kilometer (km), yang dapat dikategorikan kepada 11 lembangan sungai utama dengan luas tadahan melebihi 20,343 km persegi dan panjang 878 km.

Katanya, lembangan Sungai Perak yang adalah sungai kedua terpanjang di Semenanjung Malaysia membabitkan keluasan kawasan tadahan 14,907 km persegi dan panjang 412 km yang mana terdapat tujuh loji rawatan air di sepanjang sungai itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2022 @ 12:35 PM