ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan KPDNHEP
ANTARA lokasi yang diserbu. FOTO ihsan KPDNHEP
Ruwaida Md Zain


Shah Alam: Empat aktiviti penyelewengan barang kawalan subsidi bahan api diesel dengan nilai keseluruhan RM507,142 dilumpuhkan di Semenyih, Kota Damansara, Kapar dan Puchong, minggu ini hasil kerjasama strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri, Mohd Khairi Jamaludin berkata, pihaknya menerima empat kes serahan itu daripada PDRM membabitkan tiga kes pada 9 Ogos lalu dan satu kes, semalam.

Mohd Khairi berkata, daripada empat kes terbabit, 15 individu ditahan.

"KPDNHEP Selangor akan meneruskan siasatan lanjut ke atas keempat-empat kes terbabit untuk mengenal pasti individu atau mana-mana pihak yang terbabit secara langsung di dalam aktiviti bersindiket ini.

"Menerusi operasi itu juga, 26,500 liter diesel subsidi disita membabitkan sembilan buah lori yang disyaki digunakan bagi tujuan penyelewengan.

"Secara keseluruhan, nilai rampasan dianggarkan RM507,142 bagi empat kes berkenaan," katanya.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 20 (1), Subseksyen7(4) , Seksyen 21 dan Peraturan 12A di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

"Kebanyakan kes penyelewengan yang dihasilkan ini, bekalan diesel dipercayai diperolehi daripada stesen minyak yang berdekatan.

"KPDNHEP Selangor akan menjalankan siasatan terperinci dan akan mengambil tindakan ke atas mana-mana stesen minyak yang bersubahat dengan sindiket-sindiket terbabit," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2022 @ 12:22 PM