Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat ruang pameran selepas merasmikan Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini. Turut hadir Khairy  (kanan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (empat, kiri). FOTO BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan melawat ruang pameran selepas merasmikan Institut Kesihatan Negara (NIH) di Setia Alam hari ini. Turut hadir Khairy (kanan) dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah (empat, kiri). FOTO BERNAMA
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Gelombang Covid-19 akibat penularan sub-varian Omicron BA.5 yang melanda negara ini disifatkan kecil tetapi lama namun masih terkawal.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, bagi sesetengah negara seperti Singapura, gelombang Omiron BA.5 adalah besar tetapi di Malaysia gelombangnya adalah kecil tetapi lama.

"Macam saya kata, (pergerakan) 2,000 ke 5,000 kes tetapi agak lama, ia tidak naik mendadak, ia naik sikit dan kekal ke paras yang baru," katanya kepada media selepas perasmian Kompleks Institut Kesihatan Negara (NIH) oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di sini, hari ini.

Mengulas mengenai kes jangkitan Covid-19 yang tidak dilaporkan di aplikasi MySejahtera, Khairy berkata, situasi itu berlaku di mana-mana negara bukan sahaja di Malaysia.

Katanya, kes jangkitan Covid-19 yang dilaporkan adalah kurang daripada keadaan sebenar kerana protokol untuk ujian sudah dilonggarkan selepas negara melaksanakan peralihan fasa endemik.

"Dulu semua buat RT-PCR (Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction) dan sekarang kebanyakan ujian yang dilaporkan adalah ujian RTK-Antigen," katanya.

"Ada juga individu yang melakukan ujian kendiri tetapi tidak melaporkan kepada MySejahtera.

"Jadi dengan keadaan begini kita ambil 'proxy indicator' dengan tidak melihat sangat kepada jumlah kes tetapi kita lihat kepada keseriusan kes.

"Kita melihat kepada severity (keterukan), jumlah kes kematian, kemasukan ke hospital. Selagi kadar-kadar berkenaan terkawal maka kita boleh mengurus masalah ini dengan baik," katanya.

Dalam pada itu, Khairy juga menasihati orang ramai untuk melaporkan jangkitan CovidD-19 di MySejahtera bagi membantu KKM mengetahui keadaan sebenar serta jumlah kes dalam kalangan komuniti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 4:02 PM