BERNAMA

Putrajaya: Sebarang hasil keputusan menerusi penggunaan ujian kit kendiri Covid-19 sama ada positif, negatif atau tidak sah (invalid) perlu dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) melalui aplikasi MySejahtera.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, pengguna perlu bertanggungjawab untuk melaporkan keputusan sebenar dan tidak melakukan pemalsuan bagi mencegah implikasi jangkitan kepada orang lain.

Katanya, jika keputusan ujian kit kendiri positif, pengguna perlu hadir ke fasiliti kesihatan swasta, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) atau mana-mana Klinik Kesihatan (KK) untuk penilaian kesihatan, sebelum status kesihatan mereka dimuat naik dalam aplikasi MySejahtera.

"Sekiranya keputusan negatif tetapi individu berkenaan bergejala, mereka turut dinasihatkan hadir ke klinik swasta atau KK untuk penilaian sama, manakala untuk keputusan invalid, pengguna perlu ulang semula ujian," katanya dalam sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) secara maya bersama Menteri Penyelaras PICK Khairy Jamaluddin hari ini.

Setakat Khamis lalu, KKM menerusi Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) memberi kelulusan bersyarat kepada tiga jenis kit ujian kendiri Covid-19 untuk dijual dan diguna di negara ini.

Kit-kit itu ialah Kit Ujian Pantas Antigen Salixium Covid-19 buatan syarikat tempatan; Reszon Diagnostics International Sdn Bhd; Gmate® Covid-19 buatan Korea Selatan dan Beright Covid-19 Antigen Rapid Test Device (Oral Fluid) yang dibuat Hangzhou Alltest Biotech Co., Ltd.

Dalam perkembangan lain, Dr Adham memberitahu penularan varian membimbangkan (VOC) Covid-19 di Malaysia kini mengalami trend peningkatan, terutama bagi varian Beta dan Delta.

DR Adham bersama Khairy pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). FOTO Bernama
DR Adham bersama Khairy pada sidang media perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan hari ini di ibu pejabat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF). FOTO Bernama

Katanya setakat semalam, sebanyak 378 jangkitan dikesan bagi varian Beta dan Delta manakala bagi varian Alpha sebanyak 14 jangkitan dilaporkan.

"Jangkitan itu yang dikesan menerusi penjujukan genom penuh SARS-Cov-2 dilihat membimbangkan kerana VOC Delta terutamanya mempunyai kadar kebolehjangkitan dan kemudaratan tinggi berbanding VOC Beta dan Alpha.

"Bukti saintifik yang terbaru juga menunjukkan individu yang dijangkiti varian Delta mempunyai bilangan virus dalam badan yang mampu mencecah 1,000 kali lebih tinggi daripada yang bukan Delta," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Julai 2021 @ 3:46 PM