Sri Ayu Kartika Amri


Kuala Lumpur: Selepas lebih tiga tahun menunggu dan tiada pembelaan sewajarnya oleh syarikat penghantar serta tiada sebarang suara daripada pihak kerajaan dalam membangunkan serta melindungi penghantar makanan, perhimpunan 'Food Delivery Blackout' akan diteruskan seperti dirancang, hari ini.

Ia dijangka diadakan di seluruh negara bermula 4 petang ini dengan beberapa lokasi berkumpul utama sekitar Lembah Klang.

Namun, jumlah keseluruhan penghantar makanan yang akan menyertai rancangan itu belum dapat dipastikan namun penganjur mogok memaklumkan kebanyakan rider sudah menunjukkan mereka akan menyokong mogok terbabit.

Timbalan Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Abdul Hakim Abdul Rani berkata, boikot itu difahamkan sudah pun bermula jam 12 malam tadi, namun sehingga kini pihaknya tiada maklumat berapa ramai rider yang akan terbabit.

Katanya, perhimpunan itu juga bukan anjuran Penghantar kerana persatuan terikat dengan undang-undang yang tidak boleh menganjurkan apa-apa mogok atau perhimpunan tanpa kebenaran.

"Pada masa sama kami menyokong usaha ini kerana masalah ini sudah terlalu lama... Isu rider ini tidak diberi pembelaan sewajarnya daripada pihak syarikat perkhidmatan penghantaran makanan.

"Malah kerajaan tidak bersuara dalam melindungi pekerja gig ekonomi seperti p-hailing ini daripada dimanipulasikan oleh pihak syarikat dan itu masalah yang berlaku sebenarnya," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sudah banyak kali menghantar memorandum kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Sumber Manusia dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Perdana Menteri ketika itu).

Memang ada perbincangan dibuat bersama syarikat berkenaan dan jawatan kuasa ditubuhkan tetapi dalam kita merangka polisi (saya faham di peringkat persekutuan ambil masa lama), tetapi kita mahu ada penyelesaian jangka masa pendek dan panjang.

"Jadi isu ini tergantung dan bagaimana rider nak bersabar dalam keadaan ekonomi yang semakin parah, oleh itu apa yang berlaku sekarang ini (mogok 'Food Delivery Blackout') adalah daripada rentetan daripada isu lalu.

"Kami sedih dengan apa yang berlaku dan meminta pihak kerajaan lebih tegas dalam menangani isu ini kerana persatuan sudah membuat pelbagai langkah dan cadangan," katanya.

Menurutnya, isu mengenai rider bukan sahaja membabitkan sistem pembayaran yang berat sebelah, malah isu keselamatan dan permasalahan sistem serta rider juga menjadi mangsa keadaan daripada vendor (restoran) dan pelanggan.

Beliau berkata, di peringkat persatuan pihaknya juga sudah menghantar Lima Resolusi Bantu Pekerja p-hailing tahun lalu, namun masih tiada sebarang perubahan ketara yang dapat dilihat.

"Antara resolusi, kita nak diiktiraf sebagai pekerja gig ekonomi dan sebenarnya modul untuk pekerja gig ekonomi sudah ada di Amerika Syarikat, jadi kita boleh kaji modul yang ada itu untuk diaplikasikan di negara ini.

"Selain itu, perlu tubuhkan badan kawal selia yang khusus dan sekarang ini tiada langsung badan agensi yang ditubuhkan, maka syarikat boleh sesuka hati menukar dan merangka polisi mengikut kepentingan mereka sendiri," katanya.

Abdul Hakim berkata, sekiranya kerajaan tidak ambil serius mengenai isu ini memang nasib rider ini akan terus tertindas dan tiada kesudahan.

Katanya, apa jua polisi yang hendak dibuat kerajaan kena membabitkan keseluruhan ekosistem p-hailing dan tidak boleh hanya undang-undang kepada rider sahaja, perlu juga ada undang-undang untuk syarikat, vendor dan pelanggan.

Semalam, media melaporkan semua penghantar p-hailing dijangka melakukan boikot dengan tidak akan beroperasi selama 24 jam hari ini sebagai tanda tidak berpuas hati dengan syarikat penyedia perkhidmatan.

TINJAUAN penghantar makanan di perkarangan Suria KLCC susulan Mogok Rider Grab Se-Malaysia yang tular. FOTO Eizairi Shamsudin.
TINJAUAN penghantar makanan di perkarangan Suria KLCC susulan Mogok Rider Grab Se-Malaysia yang tular. FOTO Eizairi Shamsudin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 3:07 PM