GAMBAR HIASAAN
GAMBAR HIASAAN
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsan (PPJK) menggesa kerajaan memberi keutamaan pemberian vaksin kepada penghantar makanan dan penghantar barangan (p-hailing) di negara ini.

Pengerusinya Mohammad Hisham Shafie berkata, ia memandangkan kerjaya mereka terdedah kepada risiko jangkitan ketika penularan kes Covid-19 masih tinggi.

Katanya, mereka juga diiktiraf sebahagian daripada petugas barisan hadapan yang menghantar makanan dan barangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak tahun lalu.

"Mereka perlu diutamakan kerana golongan p-hailing kurang diberi perhatian. Sepatutnya mereka juga perlu diutamakan untuk menerima vaksin pada ketika ini.

"PPJK juga melihat bagaimana kita hendak membela nasib mereka yang melakukan tugasan seharian sebagai seorang penunggang p-hailing ini.

"Sepanjang tempoh PKP ini, mereka bertungkus-lumus menghantar makanan serta barangan mengikut keperluan pelangan secara dalam talian dan terdapat kira-kira 100,000 orang terbabit dalam bidang ini terdiri dari golongan anak muda di Malaysia," katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar) Zulhelmi Mansor berkata, pihaknya memohon kerajaan mengkaji serta mempertimbangkan semula perkara berkenaan demi menjaga kebajikan golongan terbabit.

Katanya, pelaksanaan PKP menyebabkan lambakan penghantar di negara ini selepas mereka yang kehilangan pekerjaan turut menceburkan diri dalam bidang itu.

"Terdapat sektor e-Hailing juga membenarkan rakan-rakan pemandu untuk mengambil pesanan makanan dan barangan, dan faktor ini juga menjejaskan pendapatan kami.

"Apapun, kami secara tidak langsung membantu kerajaan serta industri berkaitan untuk meneruskan aktiviti ekonomi. Justeru, kami minta kerajaan meneliti isu ini bagi memastikan kami dapat terus bekerja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:16 PM