ANTARA pemandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi khas sempena Ambang Tahun Baharu 2024 di Jalan Pandan Indah. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA pemandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi khas sempena Ambang Tahun Baharu 2024 di Jalan Pandan Indah. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Ampang Jaya: Polis menahan tiga lelaki kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi khas sempena Ambang Tahun Baharu 2024 di Jalan Pandan Indah, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya menjalankan Operasi Mabuk secara sekatan jalan raya di Jalan Pandan Indah bermula 10 malam hingga 12 tengah malam.

Menurutnya, seramai tiga lelaki berumur antara 40 hingga 70 tahun ditahan atas kesalahan memandu dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan mengikut peruntukan Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Sehubungan itu, tangkapan bersama-sama dengan kenderaan dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya.

"Mereka kemudian menjalani ujian nafas dengan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) di mana menunjukkan keputusan tahap kandungan alkohol dalam darah melebihi had ditetapkan iaitu sebanyak 50/100ml," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Azam berkata, individu yang didapati melakukan kesalahan itu boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak lebih daripada RM30,000.

Selain itu, lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

"Di samping itu, dua Operasi Khas Motosikal turut dijalankan di sekitar Jalan Ampang dan Bukit Ampang bertujuan mengekang berlakunya gejala tidak sihat dalam kalangan golongan remaja yang menunggang motosikal secara merbahaya dan mengundang gangguan bunyi kepada penduduk setempat.

"Sebanyak sembilan kenderaan disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta yang sama di mana seramai 131 individu diperiksa dalam operasi ini," katanya.

Beliau berkata, sebanyak 82 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan seperti tiada lesen memandu yang sah, ubah suai kenderaan, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, cermin sisi dan lain-lain kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 January 2024 @ 4:15 PM