ANTARA  mak nyah yang dibantu dan menerima bimbingan dikendalikan  Pertubuhan Hijrah Republique Network.
ANTARA mak nyah yang dibantu dan menerima bimbingan dikendalikan Pertubuhan Hijrah Republique Network.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Mahaizura Abd Malik

USAHA tidak pernah jemu selama beberapa tahun nyata membuahkan hasil apabila lebih 30 mak nyah dari sekitar Lembah Klang berjaya diselamatkan daripada terjerumus dalam gejala negatif.

Perkembangan baik ini dikongsikan Pertubuhan Hijrah Republique Network khusus menyantuni komuniti hijrah lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), HIV dan penagih dadah yang menggunakan cara berhemah dalam mendekati dan memujuk golongan itu.

Presidennya Mohd Al Khusyairi Mohd Ariff berkata, faktor tidak diberi peluang selain stigma negatif masyarakat menyebabkan mereka gagal diterima bekerja hingga terdesak menjual diri bagi menyara kehidupan mereka di ibu kota.

“Kebanyakan mereka terdesak kerana peluang bekerja di tempat lain ditutup hanya kerana penampilan dan perwatakan mereka sebegitu selain faktor tiada sijil pendidikan.

“Sebenarnya mak nyah di sekitar Lembah Klang, ramai datang dari luar seperti Sabah dan Thailand.

“Untuk rekod, kami sudah membantu lebih 30 orang golongan mak nyah terbiar menjalani kehidupan dan bekerja di tempat lebih baik,” katanya mengulas kegiatan aktif pelacur mak nyah yang menjadikan kawasan Pandan Indah di sini, sebagai ‘sarang’ terbaru mereka.

Menurutnya, pihaknya cuba mendekati golongan itu dengan mengajak mereka mengikuti kelas bimbingan pengajian al-Quran dan fardu ain kendalian Majlis Agama Islam Selangor di bawah Unit Ar Riqab.

“Kami ada cara tersendiri mendekati komuniti masih tegar ini bukan mengubah terus tetapi bermula dengan memberi ruang belajar agama secara tidak langsung lama kelamaan mereka terpujuk meninggalkan kancah hitam berkenaan.

“Jadi, melalui bantuan Ar Riqab, kami pastikan mereka mengikuti kelas bimbingan pengajian al-Quran dan fardu ain kendalian Majlis Agama Islam Selangor,” katanya.

Katanya, masyarakat usah terus mengecam, malah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan berhemah untuk mengeluarkan golongan ini keluar dari belenggu kegiatan tidak bermoral.

“Bukanlah maksud saya kita menyokong kegiatan dan gaya hidup songsang mereka lakukan, tetapi melalui pengalaman saya sendiri, isu LGBT ini perlu ditangani dengan cara berhemah.

“Ia tidak akan berkurang jika dibuat secara kasar atau paksaan sebaliknya gunakan pendekatan mendekati mereka dan berbincang secara baik lama-lama mereka akan lembut hati berubah ke pangkal jalan,” katanya.

PENGHUNI Pertubuhan Hijrah Republique Network mendalami ilmu agama serta memulakan hidup baharu di pusat berkenaan.
PENGHUNI Pertubuhan Hijrah Republique Network mendalami ilmu agama serta memulakan hidup baharu di pusat berkenaan.

Kecam aktiviti tak bermoral suntik kesedaran

Masyarakat perlu terus mencegah dan mengecam sebarang aktiviti tidak bermoral yang melanggar nilai etika dan norma bagi menyuntik kesedaran dan rasa bersalah kepada golongan pelaku.

Timbalan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohd Khairul Anwar Ismail berkata, pihaknya terus konsisten mengecam mana-mana aktiviti tidak bermoral dan melanggar nilai etika.

Katanya, apabila tiada kecaman dan pencegahan, sesuatu yang tidak normal itu akan menjadi kebiasaan dan trend.

“Aktiviti pelacuran berkenaan sudah tidak beretika apatah lagi amalan songsang memang jelas melanggar tabii dan tidak seharusnya berlaku dalam masyarakat bertamadun.

“Apabila sesuatu tidak normal seolah-olah sudah dianggap biasa, aktiviti itu akan jadi macam trend membuatkan pelakunya tidak rasa bersalah.

“Sebab itu masyarakat perlu kecam supaya dia rasa bersalah bukan saja dari segi undang-undang tetapi juga etika.

“Golongan ini kena sedar mereka kena hormat sensitiviti majoriti masyarakat negara ini yang berpegang kepada nilai etika,” katanya mengulas berkaitan aktiviti pelacuran mak nyah yang semakin berleluasa di Pandan Indah.

Beliau berkata, semua pihak termasuk masyarakat, pihak berkuasa dan badan dakwah perlu memainkan peranan sama bagi membanteras gejala songsang dan tidak bermoral sampai ke akar umbi.

“Dari segi perundangan, jika tiada laporan penguatkuasa tidak boleh bertindak.

“Jadi, masyarakat juga perlu menjadi ‘mata dan telinga’ jika tahu aktiviti berkenaan buat laporan segera kepada pihak berkaitan,” katanya.

ANTARA pelacur pondan yang didapati masih menjalankan kegiatan maksiat sekitar Pandan Indah tanpa diambil tindakan pihak berkuasa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ANTARA pelacur pondan yang didapati masih menjalankan kegiatan maksiat sekitar Pandan Indah tanpa diambil tindakan pihak berkuasa. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali

Hati tergoda sampai langgan

“Saya tak boleh beza. Mereka (mak nyah) nampak sama atau lebih cantik dari perempuan tulen. Mungkin itu sebabkan saya ‘goyang’ (tergoda),” ujar salah seorang pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Syam, 24.

Dia adalah antara kelompok anak muda yang mengaku pernah melanggan pelacur mak nyah yang berkeliaran di sekitar kawasan Pandan Indah, yang turut terkenal dengan jolokan ‘Chow Kit 2’.

Ditanya sama ada dia menyedari kegiatannya itu sebagai perbuatan songsang, pemuda itu hanya tersengih malu,

“Peringkat awal dulu..saya hanya cuba-cuba (pelanggan pelacur pondan). Bab dosa boleh taubat kemudian,” katanya kepada wartawan sekitar jam 2 pagi semalam, di lokasi itu.

Tinjauan wartawan semalam mendapati terdapat kira-kira 10 pelacur pondan berkeliaran sepanjang jalan di kawasan itu dengan kebanyakannya berdiri dalam jarak 10 meter antara satu sama lain.

Kumpulan ‘kupu-kupu’ mak nyah ini didapati lebih berwaspada apabila memilih untuk muncul hanya selepas jam satu pagi selepas aktiviti maksiat dilakukan mereka didedahkan akhbar ini 14 Julai lalu.

Selepas seminggu pendedahan dilakukan, ternyata kumpulan pelacur mak nyah ini masih aktif menjalankan kegiatan di sepanjang jalan 1/23B, Pandan Indah, tanpa diambil tindakan oleh pihak berkuasa.

Ternyata aktiviti maksiat dilakukan secara terbuka itu seolah-olah ‘direstui’ pihak berwajib berikutan bilangannya terus meningkat.

Berbanding tinjauan dilakukan wartawan sebelum ini, kebanyakan mereka tidak lagi muncul seawal jam 11 malam di kawasan itu tetapi memilih untuk memulakan aktiviti selepas jam 1 pagi.

Rata-rata mereka yang memakai skirt pendek dan bersolek tebal menjadikan kaki lima premis sebagai lokasi berkumpul.

Berdasarkan tinjauan hampir tiga jam, kebanyakan pelanggan lelaki yang muncul menaiki kereta atau motosikal akan mengadakan sesi tawar menawar harga secara terbuka.

Pelanggan yang bersetuju dengan harga ditetapkan kemudian diajak menaiki tangga rumah kedai berhampiran menuju ke bilik khas disewa bagi melampiaskan nafsu.

Malah ada antara pelanggan dilihat muncul menaiki kereta mewah sebelum cermin kenderaan didekati pelacur mak nyah terbabit sambil menawarkan perkhidmatan.

Salah seorang pelacur yang dihampiri mendakwa mereka hanya ‘berehat’ seketika selama dua hari selepas berita kegiatan mereka didedahkan Harian Metro.

“Saya datang semula ke sini (menawarkan khidmat seks) mulai Selasa. Setakat ini tak ada jabatan agama islam (Jabatan Agama Islam Selangor) atau polis kacau kami. Memang ada penduduk tak suka...tapi apa mereka boleh buat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Julai 2019 @ 8:30 AM