GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) meminta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk menyemak permohonan industri perkilangan dengan teliti dan bukan bergantung kepada pengakuan sektor berkenaan dalam Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 semata-mata.

Setiausaha Agung MTUC Kamarul Baharin Mansor berkata, pihaknya kecewa apabila terdapat sektor perkilangan yang bukan dalam kategori keperluan diluluskan permohonan untuk beroperasi.

"MITI juga perlu menjelaskan syarat yang membolehkan sektor perkilangan itu beroperasi bagi memudahkan pekerja melaporkan kepada kementerian sekiranya syarikat mereka tidak memenuhi syarat untuk beroperasi.

"MTUC sangsi dengan kebenaran MITI terhadap kilang kasut, kilang buku, kilang besi dan beberapa kilang yang tidak tergolong dalam senarai sektor perlu.

"Adakah kilang ini memberikan maklumat yang tidak benar atau ada pegawai MITI yang melawat kilang berkenaan?," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kamarul berkata, kekeliruan itu menyebabkan ramai pekerja menjadi mangsa keadaan.

"Jika tidak hadir bekerja atas pengetahuan bahawa kilang bukan dalam perkhidmatan perlu, syarikat akan mengambil tindakan disiplin sehingga pemberhentian kerja.

"Pekerja pula boleh disaman oleh pihak berkuasa atas kesalahan tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa bekerja.

"Malah tindakan disiplin akan diambil terhadap pekerja sekiranya pihak syarikat mendapat maklumat bahawa pekerja membuat aduan kepada MITI," katanya.

Berikutan itu, MTUC mendesak MITI supaya memberi kebenaran kepada Pegawai Kesatuan Sekerja untuk bekerja supaya isu pekerja dapat diselesaikan.

"Keperluan Pegawai Kesatuan Sekerja adalah selari dengan keputusan MITI membenarkan pekerja dalam industri keperluan bekerja.

"Kegagalan MITI meluluskan Pegawai Kesatuan Sekerja akan memperlihatkan bahawa isu pekerja tidak diutamakan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan sehingga jam 12 tengah hari kelmarin, sebanyak 517,144 syarikat dengan jumlah 9.67 juta tenaga kerja mendaftar di bawah CIMS 3.0.

Daripada jumlah berkenaan, 95,142 syarikat memperoleh kelulusan untuk beroperasi semasa Sekatan Pergerakan Penuh bermula Selasa lalu hingga 14 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 4:34 PM