Mary Victoria Dass

Johor Bahru: Hujan lebat lebih sejam mengakibatkan beberapa laluan di bandar raya Johor Bahru selain perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) diancam banjir kilat.

Seorang penduduk, Rahman Abdullah, 60, berkata dia bersama ahli keluarga yang berurusan di pusat bandar raya menghadapi kesesakan lalu-lintas lebih setengah jam akibat banjir kilat.

Menurutnya, hujan lebat bermula pada 12 tengah hari.

"Kami bernasib baik kerana kenderaan masih boleh bergerak secara perlahan di Jalan Wong Ah Fook walaupun laluan dinaiki air.

"Kami juga difahamkan laluan di Jalan Yahya Awal dan Jalan Ayer Molek turut diancam banjir kilat hingga mengakibatkan kesesakan," katanya.

ANTARA kawasan yang dilanda banjir kilat. FOTO ihsan pembaca
ANTARA kawasan yang dilanda banjir kilat. FOTO ihsan pembaca

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemuda Puteri Malaya Bersatu (Perimau) Johor, Mohd Ridhwan Othman berkata, pihaknya juga menerima aduan ancaman banjir di Jalan Persiaran Abu Bakar Sultan di perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

Menurutnya, perkara itu menimbulkan kesulitan kepada pengunjung dan pesakit yang berurusan di hospital.

Difahamkan banjir kilat juga melanda di Kampung Muhamad Amin di Nong Chik hingga air paras pinggang, Jalan Pantai Lido Menghala ke Pusat Bandar, Jalan Mahmodiah di hadapan Restoran Yasin dan Jalan Seri Pelangi Menghala ke Stulang Laut.

Sementara itu, jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerusi suatu kenyataan mengesahkan menerima laporan berkaitan banjir kilat di beberapa kawasan sekitar bandar raya Johor Bahru.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Ogos 2022 @ 4:02 PM