KAWASAN penempatan dan komersial di Kampung Mohd Amin dan Jalan Kolam Air yang ditengelami air banjir kilat selepas hujan lebih tiga jam, awal pagi tadi. FOTO Ihsan bomba
KAWASAN penempatan dan komersial di Kampung Mohd Amin dan Jalan Kolam Air yang ditengelami air banjir kilat selepas hujan lebih tiga jam, awal pagi tadi. FOTO Ihsan bomba
Mohamed Farid Noh

Johor Bahru: Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar menitahkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor dan pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya segera menjalankan kajian di semua kawasan yang kerap berlaku banjir kilat di negeri ini.

Sultan Ibrahim bertitah, baginda juga mahukan kedua-dua pihak berkenaan supaya segera mempersembahkan laporan kajian berkenaan.

Baginda bertitah, gangguan terhadap sistem saliran di longkang atau parit terutama di bandar raya ini antara punca utama berlakunya banjir kilat ketika musim hujan.

"JPS Johor dan PBT perlu segera jalankan kajian dan segerakan laporan kepada saya, supaya dapat dikenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam perkara ini.

"Taburan hujan yang tinggi akan menyebabkan berlaku banjir kilat seterusnya mengakibatkan kemusnahan harta benda serta memberi kesan kepada penduduk," titah Sultan Ibrahim pada kenyataan di akaun Facebook rasmi baginda hari ini.

Terdahulu, hujan lebat lebih tiga jam sejak jam 5 pagi tadi menyebabkan beberapa kawasan rendah termasuk Kampung Seri Jaya Baru dan Taman Johor di Tampoi, dilanda banjir kilat.

Turut ditenggelami banjir kilat adalah kawasan Kampung Mohd Amin, Jalan Kolam Air selain Jalan Ayer Molek berhampiran Wisma Persekutuan Johor Bahru.

Sementara itu, Sultan Ibrahim turut menasihati penduduk, khususnya mereka yang menetap di kawasan berisiko, supaya mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan faktor cuaca tidak menentu ketika ini.

"Purata hujan yang tinggi berisiko menyebabkan berlakunya banjir kilat atau banjir di sesuatu kawasan. Oleh yang demikian, penduduk perlu sentiasa berhati-hati.

"Pada masa sama, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, PBT dan agensi keselamatan perlu sentiasa bersedia untuk melaksanakan persediaan awal jika berlaku banjir," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 September 2021 @ 4:15 PM